ARAU: Dua bekas pemimpin UMNO iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Khairy Jamaluddin disebut-sebut antara calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Aura Ahli Parlimen Arau itu yang membantu PN menyapu bersih 17 daripada 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perlis dilihat mampu menambahkan lagi kekuatan gabungan itu dalam misi menawan Selangor.
Shahidan dikatakan bakal bertanding di DUN Semenyih apabila beliau dikatakan aktif turun padang di kawasan majoriti Melayu tersebut.
Komposisi pengundi di DUN Semenyih menyaksikan lebih 60 peratus pengundi Melayu manakala pengundi Cina sekitar 16 peratus manakala India (13 peratus) mungkin menjadi antara faktor Shahidan diletakkan di situ.
Dalam PRU14, DUN Semenyih dimenangi oleh Bakhtiar Mohd. Noor daripada Pakatan Harapan (PH) sebelum diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) berikutan kematian beliau pada Januari 2019 akibat serangan jantung.
Dalam PRK tersebut, Barisan Nasional (BN) merampas kembali DUN Semenyih apabila calonnya, Zakaria Hanafi menang selepas meraih 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya dalam pilihan raya tersebut.
Sementara itu, Shahidan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bertanding di Selangor sekiranya kepemimpinan PN memberi kepercayaan kepada beliau.
“Saya bersedia bertanding di mana-mana, bukan dengan niat untuk jawatan tetapi untuk memastikan PH tumbang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Khairy dikatakan akan bertanding di salah kerusi DUN di bawah Parlimen Sungai Buloh jika beliau menerima tawaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai parti itu.
Terdapat tiga DUN di bawah kerusi Parlimen tersebut iaitu Bukit Lanjan, Kota Damansara dan Paya Jaras.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pimpinan kanan Pas Selangor berkata, di bawah senarai Pas, memang tiada nama bekas Ketua Pemuda UMNO itu tetapi di bawah senarai nama calon Bersatu, kemungkinan nama Khairy itu ada.
“Lagipun kita memang menerima baik mana-mana pihak luar yang ingin bertanding mewakili PN dan boleh memberi kemenangan kepada kita. Malah, jika ada arahan daripada pimpinan Pusat untuk menarik pihak luar untuk bertanding dan memberi kemenangan, kita juga tidak ada masalah untuk itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menawarkan Khairy untuk bertanding pada PRN akan datang dengan syarat bekas pemimpin UMNO itu menyertai Bersatu.
Bagaimanapun, Khairy sehingga hari ini belum menjawab tawaran Muhyiddin dan telah meminta sedikit masa untuk membuat keputusan.
Pada PRU-15, Khairy yang mewakili Barisan Nasional (BN) tewas di Parlimen Sungai Buloh, sekali gus mengekalkan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) apabila calonnya, Ramanan menang di kerusi itu dengan majoriti 2,693 undi.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir memberitahu, pihaknya tidak akan menamakan mana-mana calon sebagai calon poster boy mahupun Menteri Besar Selangor.
Katanya, ia adalah urusan Tuanku Sultan Selangor yang tidak sewajarnya dicampuri dalam menentukan siapa yang patut memegang jawatan tersebut.
Mengulas lanjut, Roslan turut berkata, isu pembahagian kerusi di Selangor sudah muktamad dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Yang menjadi fokus kita adalah 33 kerusi Melayu yang 60 peratus pengundinya adalah Melayu. Kerusi lain, kita memang tiada masalah,” ujarnya lagi. – UTUSAN










