IPOH: Persatuan India Muslim Perak (PRIM) sekali lagi berkongsi rezeki apabila mengagihkan kira-kira 7,000 bungkus nasi beriani sebagai juadah berbuka puasa kepada warga bandar raya ini, hari ini.
Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah berkata, pemberian nasi beriani itu merupakan tradisi PRIM sejak lapan tahun lalu dan kali keempat diadakan dengan kerjasama Masjid Sultan Idris Shah II atau Masjid Negeri.
Katanya, hidangan yang diberikan secara percuma itu disediakan oleh dua buah restoran nasi kandar terkenal di Ipoh dan dua pengusaha katering.
“Sedekah ini untuk semua golongan, tidak kira siapa pun mereka. Setiap seorang akan diberi sebungkus nasi beriani dengan ayam masak merah dan dalca.
“Tahun ini paling banyak bungkus nasi beriani yang diedarkan kepada orang ramai berbanding tahun lepas sebanyak 5,000 bungkus.
“Alhamdulillah, dengan jumlah bungkus nasi yang disediakan tahun ini, kita harap ia mencukupi untuk semua orang dapat merasa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Sultan Idris Shah II di sini hari ini.
Menurut beliau, proses pengagihan nasi beriani berjalan lancar di mana ia habis diagihkan dalam tempoh sejam.
“Semuanya berjalan lancar, bermula dari proses memasak sehingga ke peringkat pengedaran nasi bungkus kepada orang ramai.
“InsyaAllah, jika ada rezeki, program ini akan diteruskan pada tahun akan datang melihat kepada sambutan orang ramai pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










