PPAK terima peruntukan RM1.5 juta

PPAK terima peruntukan RM1.5 juta

MOHD. Shamsul Baharin Isa (duduk, tengah) bersama guru dan pelajar dalam Program Nuzul al-Quran anjuran Perpustakaan Awam cawangan Gua Musang di Bandar Baru, Gua Musang, Kelantan semalam. -UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) menerima peruntukan RM1.5 juta setahun daripada Perpustakaan Negara Malaysia untuk perbelanjaan mengurus,  pembelian buku, pembangunan dan mengadakan aktiviti bersama masyarakat. 

Pengarahnya, Mohd. Shamsul Baharin Isa berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM207,000 disalurkan kepada tujuh perpustakaan cawangan dan 34 perpustakaan desa di seluruh negeri ini untuk mengadakan aktiviti pembangunan modal insan. 

“Pihak kami kini giat menjalankan pelbagai aktiviti sebagai inisiatif menaikkan semula jumlah pengunjung ke perpustakaan ekoran pandemik Covid-19 yang lalu. 

“Sebelum ini jika dibandingkan sambutan orang awam ke perpustakaan seluruh negeri Kelantan sebelum pandemik Covid-19 amat memberangsangkan tetapi selepas pandemik jumlah pengunjung merudum dan penurunan ini amat ketara,” katanya selepas Program Nuzul al-Quran anjuran Perpustakaan Awam cawangan Gua Musang di Bandar Baru di semalam.

Mohd. Shamsul Baharin memberitahu, bagi mengatasi masalah itu pihaknya telah mengadakan pelbagai program bagi menarik kembali minat masyarakat termasuklah pelajar sekolah untuk mengunjungi perpustakaan.

Katanya, selain itu pihak perbadanan turut mengadakan program secara maya, selain membuat siaran langsung terhadap aktiviti yang sedang dijalankan di media sosial untuk sebaran secara lebih meluas. 

“Kita ada buat program secara atas talian iaitu ‘Bicara Maya. Kita jemput individu seperti  penceramah bebas, wakil jabatan kerajaan dan sekolah untuk bagi ceramah. 

“Sebagai contoh kita pernah jemput pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk beri ceramah mengenai scammer. Selain itu, kita juga buat segmen Bicara Penulis untuk membantu penulis bagaimana mempromosi buku keluaran tulisan masing-masing,” ujarnya.

Mohd. Shamsul Baharin berkata, pihaknya turut mengadakan perpustakaan bergerak ke sekolah dan agensi mengikut permintaan dengan menggunakan bas bagi membantu memberi manfaat serta  menyediakan kemudahan bahan bacaan terbaik kepada masyarakat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN