SEOUL: Mahkamah Agung Korea Selatan hari ini mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap bekas Presiden Yoon Suk Yeol berhubung kesalahan berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal dilaksanakan pada 2024 dan mencetuskan huru-hara.
Kes itu merangkumi tuduhan Suk Yeol menghalang proses perbincangan Kabinet dan menggunakan tandatangan palsu Perdana Menteri sebelum pengisytiharan undang-undang tentera itu dibuat.
Beliau turut didakwa menggunakan anggota keselamatan presiden bagi menghalang penahanannya sendiri selepas pengisytiharan tersebut dibatalkan oleh ahli Parlimen.
Suk Yeol kini ditempatkan dalam tahanan sementara menunggu rayuan terhadap hukuman penjara seumur hidup dalam kes berasingan kerana mengetuai pemberontakan melalui pengisytiharan undang-undang tenteranya, yang kononnya dibuat demi kepentingan awam.
Dalam kes dibawa ke Mahkamah Agung itu, Suk Yeol didakwa menghalang proses perbincangan Kabinet dengan hanya memanggil kumpulan menteri terpilih untuk menghadiri mesyuarat sebelum pengisytiharan undang-undang tentera dibuat.
Tuduhan lain termasuk dakwaan beliau mencipta dan memusnahkan dekri palsu undang-undang tentera yang mengandungi tandatangan dipalsukan daripada perdana menteri, mengarahkan pegawai mengedarkan kenyataan media mengelirukan kepada media asing, serta mengarahkan seorang komander tentera memadam rekod daripada telefon tentera yang dilindungi.
Pendakwa raya sebelum ini memohon hukuman penjara 10 tahun terhadap Suk Yeol.
Januari lalu, mahkamah rendah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mensabitkan Yoon atas kebanyakan pertuduhan yang dihadapinya.
Bagaimanapun, pada April, mahkamah rayuan mengekalkan sabitan itu, menambah satu lagi sabitan bersalah berhubung penyebaran kenyataan media yang mengelirukan, sekali gus meningkatkan hukuman penjara kepada tujuh tahun.
Pendakwa raya dan pasukan peguam Suk Yeol kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung, yang keputusannya adalah muktamad.
“Semua rayuan ditolak,” kata seorang hakim Mahkamah Agung ketika membacakan keputusan yang disiarkan secara langsung, sambil menegaskan penghakiman mahkamah rendah tidak mengandungi sebarang kesilapan.
Pasukan peguam Yoon melahirkan rasa ‘amat kesal’ terhadap keputusan itu dan mendakwa Mahkamah Agung membuat keputusan tanpa pertimbangan yang mencukupi.
Mereka memaklumkan akan mencabar keputusan berkenaan atas alasan perlembagaan serta mengemukakan aduan berhubung keputusan tersebut.- AFP










