SUBANG: Malaysia berpotensi muncul sebagai hab kargo udara serantau sekiranya proses pengendalian di lapangan terbang, khususnya pelepasan kastam, dipercepat dan diselaraskan bagi meningkatkan kecekapan rantaian logistik negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha itu penting memandangkan pengangkutan udara menjadi pilihan utama bagi penghantaran barangan bernilai tinggi seperti cip semikonduktor, produk elektrik dan elektronik (E&E) serta farmaseutikal.
Katanya, kerajaan kini memberi tumpuan untuk memperkukuh daya saing sektor kargo udara melalui penyelarasan proses operasi di lapangan terbang.
“Baru-baru ini, Kabinet membuat keputusan dasar supaya Kementerian Pengangkutan mengetuai usaha menyelaras proses di lapangan terbang bagi meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor kargo udara.
“Antara fokus utama ialah mempercepatkan proses pengendalian kargo, khususnya pelepasan kastam.
“Jika proses ini dapat dipercepatkan, Malaysia akan menjadi lebih kompetitif sebagai hab kargo udara,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Kompleks Logistik MRO Subang di Subang Aerotech Park, di sini hari ini.
Beliau berkata, kepentingan industri penerbangan kepada ekonomi negara semakin ketara, termasuk dari sudut perdagangan antarabangsa.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai perdagangan yang diangkut melalui udara berkembang lebih pantas berbanding perdagangan melalui laut dan darat.
Bagi tempoh lima bulan pertama 2026, nilai perdagangan melalui udara mencecah RM644.08 bilion, mengatasi perdagangan melalui laut sebanyak RM618.02 bilion.
Daripada jumlah itu, kira-kira 75 peratus nilai perdagangan udara disumbangkan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.
Anthony Loke berkata, jumlah kargo udara yang tinggi di Pulau Pinang didorong kedudukan negeri itu sebagai hab utama industri semikonduktor negara.
“Kebanyakan produk semikonduktor dieksport menggunakan pengangkutan udara. Sebab itu Pulau Pinang menjadi hab utama industri E&E negara.
“Pada masa sama, kita turut berusaha meningkatkan kapasiti kargo udara di lapangan terbang lain.
“Sebagai contoh, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dirancang sebagai hab kargo udara serantau bagi ASEAN. Sebab itu kita menjalinkan kerjasama dengan China dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan turut bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi membangunkan hab kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan memanfaatkan Terminal 2.
“Sabah mempunyai potensi besar, khususnya dalam industri makanan laut yang memerlukan rangkaian logistik udara yang cekap bagi memenuhi permintaan pasaran eksport.
“Dengan sokongan logistik udara yang lebih baik, lebih banyak produk makanan laut dapat dieksport ke pasaran antarabangsa.
“Usaha sama turut dilaksanakan di Lapangan Terbang Senai walaupun lapangan terbang itu tidak dikendalikan oleh Malaysia Airports,” katanya. – UTUSAN










