KUALA LUMPUR: Seramai 8,042 orang guru baharu telah ditempatkan bagi memenuhi kekosongan jawatan serta keperluan opsyen di sekolah rendah dan menengah seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, penempatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk memastikan keperluan tenaga pengajar dapat dipenuhi secara optimum.
“Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memberi perhatian terhadap perkara berkaitan pengisian guru dan keseimbangan dalam membuat taburan agihan guru baharu di seluruh negara bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Berdasarkan pengisian guru semasa, jumlah guru berkhidmat adalah seramai 422,325 orang dengan kadar pengisian sebanyak 98 peratus. Peratus pengisian ini adalah selaras dengan penetapan pengisian oleh agensi Pusat.” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang meminta kementerian menyatakan langkah konkrit bagi mengatasi isu penempatan guru yang masih tidak selesai dalam keadaan sekolah masih kekurangan guru.
Selain itu, katanya lagi kementerian juga akan menerima bekalan seramai 5,829 calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan seramai 2,633 calon simpanan yang akan ditempatkan di sekolah pada bulan September 2026.
“Selain daripada itu, seramai 549 orang pelajar Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan Perdana akan tamat pada bulan Oktober 2026 dan dijangka akan ditempatkan pada bulan Januari 2027,” katanya.
Mengulas lanjut, Kah Woh turut berkata, SPP sedang melaksanakan urusan temu duga bagi Urusan Pengambilan Guru Tahun 2026 (Pasaran Terbuka) bermula bulan Mei 2026 dan dijangka tamat pada bulan Oktober 2026. – UTUSAN










