Potong kuota diesel, harga ikan naik mendadak

Potong kuota diesel, harga ikan naik mendadak

AMIR Shah menunjukkan ikan kembong yang dijual RM18 sekilogram di gerainya di Pengkalan Nelayan Sementa di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Harga ikan dan makanan laut lain dikhuatiri meningkat lebih tinggi ekoran keputusan kerajaan melaksanakan pemotongan  diesel bersubsidi  daripada 90 juta liter kepada 70 juta liter pada setiap bulan sejak Januari lalu.

Malah di Selangor, harga sesetengah ikan naik mendadak  melebihi 100 peratus pada tahun ini susulan pemotongan diesel itu yang bertujuan menyekat ketirisan bahan api itu.

Pemotongan diesel bersubsidi tersebut menjejaskan nelayan-nelayan bot laut dalam seperti kelas B dan C di seluruh negara sekali gus memberi tekanan kepada peniaga termasuk di jeti.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pengkalan Nelayan Sementa, Klang dan Pasar Nelayan Sungai Yu, di sini mendapati harga ikan  seperti kembong, pelaling, senangin dan sotong kecil kini dijual antara RM8 hingga RM35 setiap kilogram (kg).

Paling ketara harga ikan pelaling atau ‘ikan rakyat’ naik melebihi 100 peratus iaitu daripada RM5 sekilogram kepada RM19 sekilogram. Malah, dalam tinjauan tersebut dua pemilik gerai tidak lagi menjual ikan tersebut berikutan harganya terlalu mahal.

Seorang pemilik gerai di Pengkalan Nelayan Sementa, Amir Shah berkata, akhir-akhir ini margin keuntungannya semakin kecil selepas berdepan dengan tekanan kenaikan harga daripada pembekal yang terdiri daripada nelayan kecil dan bot besar.

Menurut beliau, dua jenis hasil laut seperti pelaling dan sotong tidak lagi dijual di gerainya sejak beberapa minggu lalu apabila harga makanan itu terlalu mahal.

Katanya,  jika mahu jual juga perlu melebihi RM20 sekilogram bagi ikan pelaling manakala bagi sotong pula mencecah RM30 sekilogram.

“Secara umumnya ikan tidak berkurang, tetapi jualannya yang berkurang. Sebelum ini 50kg ikan dalam dua hingga tiga hari, sekarang dalam tempoh sama cuma dapat jual sekitar 30kg. Memang nampak kuasa beli pengguna berkurangan.

“Disebabkan itu juga saya tak boleh jual pada margin harga sebelum ini iaitu, mesti dikurangkan (menjadi RM2 hingga RM8), supaya pelanggan tak lari kerana Pengkalan Nelayan Sementa adalah tumpuan pelanggan dari Kuala Lumpur, Bangi, Shah Alam, Banting dan sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui.

Kata Amir, ikan bawal padi kini menjadi pengganti kepada pelaling kerana boleh dijual pada harga RM8 sekilogram, namun saiz dan kuantiti isinya lebih sedikit berbanding pelaling.

Pada 23 Disember lalu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melaksanakan Pelarasan Kuota Subsidi Diesel Kepada Vesel Nelayan yang diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan Bilangan 2 Tahun 2022.

Dalam mesyuarat tersebut, diputuskan kuota baharu diesel bagi bot-bot kategori B dan C dikurangkan kepada 12,000 dan 17,000 liter sebulan berbanding 16,000 dan 20,000 liter sebulan sebelum ini.

Kadar kuota asal subsidi diesel bagi bot pukat jerut Zon C dari 13,000 liter dikurangkan kepada 12,000 liter sebulan. Seterusnya, kuota asal pemberian subsidi diesel bagi bot pukat jerut Zon B dari 8,000 liter dikurangkan kepada 7,000 liter sebulan.

Sementara itu, peniaga, Muhammad Hanafi Marzuki, 32, yang berniaga di Pasar Nelayan Sungai Yu memaklumkan, jualan di gerainya naik sekurang-kurangnya 12 peratus sejak tahun ini terutama melibatkan ikan-ikan lazim dimakan seperti kembong, pelaling, bawal hitam dan bawal putih.

“Saya macam tak percaya, ikan pelaling paling laku di gerai saya memandangkan pasar ini pun terletak dalam kawasan kampung. Sejak tahun ini saya tidak lagi jual pelaling sebab tak munasabah.

“Daripada berhabis RM20 ke RM30 untuk ikan pelaling, lebih baik pembeli beli ikan cencaru yang harganya masih kekal RM12 sekilogram, kembong dan senangin yang isinya lebih banyak dan enak. Saya juga terkejut bila lihat harga ikan pelaling pun lebih mahal berbanding kembong,” jelasnya.

Bagaimanapun, seorang lagi peniaga di pasar tersebut, Ruzilawati Hamzah, 54, memaklumkan kenaikan harga ikan tidak melibatkan bekalan daripada nelayan-nelayan kecil.

“Macam saya jual ikan daripada nelayan kecil iaitu ahli keluarga sendiri. Jadi, harga ikan yang saya jual masih sama seperti tahun lalu. Bagaimanapun, tidak boleh bergantung kepada kami sebab kuantiti dijual adalah sedikit berbanding bekalan daripada nelayan bot besar.

“Macam ikan senangin, saya masih jual sekitar RM25 hingga RM28 sekilogram ikut harga pasaran, pelaling pula RM6 hingga RM8 sekilogram dan bawal padi RM8 hingga RM16 sekilogram mengikut saiz,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika ditemui baru-baru ini memaklumkan pihaknya meneruskan pemantauan biasa terhadap jualan ikan dan sebarang tindakan berhubung harganya dan subsidi tersebut bergantung kepada dasar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×