Polis buru 4 suspek culik pemuda di Shahab Perdana

Polis buru 4 suspek culik pemuda di Shahab Perdana

Tangkap layar klip video yang tular di media sosial memaparkan mangsa berbaju biru, dipaksa memasuki sebuah kereta oleh beberapa individu di Shahab Perdana, Alor Setar, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki dan beberapa lagi individu sedang diburu berhubung kejadian yang tular di media sosial memaparkan seorang individu dipaksa memasuki sebuah kenderaan dan didakwa diculik, sejak malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian itu berlaku petang semalam di depan sebuah hotel dekat Shahab Perdana di sini, dengan kejadian tersebut turut dirakam orang awam yang berada di lokasi kejadian. 

Katanya, kira-kira pukul 6.30 petang, bapa mangsa yang berusia 46 tahun menerima maklumat menyatakan anak lelakinya berusia 27 tahun dilarikan oleh beberapa lelaki dan wanita. 

“Berikutan itu, bapa mangsa bergegas ke lokasi kejadian. Setibanya di lokasi, lelaki tersebut ditunjukkan rakaman video kejadian yang dirakam orang awam di situ. 

“Bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Hasil siasatan dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 43 tahun awal pagi ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Menerusi klip video yang tular itu, mangsa dilihat dipaksa menaiki sebuah kereta putih oleh beberapa individu termasuk seorang wanita sambil dia menjerit kesakitan. 

Klip video berdurasi 41 saat itu bagaimanapun tidak memaparkan butiran terperinci termasuk nombor plat kenderaan tersebut. 

Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, setakat ini terdapat lima suspek bagi kes tersebut terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan. 

“Pihak kami sedang berusaha menghubungi mangsa dalam masa terdekat. Selain itu, usaha juga dijalankan untuk memburu saki baki suspek yang masih bebas. 

“Motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya