Permohonan Zuraida mohon isytihar Presiden PBM dibantah - Utusan Malaysia

Permohonan Zuraida mohon isytihar Presiden PBM dibantah

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara telah mengemukakan bantahan terhadap permohonan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Pada 24 Mac lalu, Zuraida memfailkan permohonan semakan kehakiman itu dengan menamakan RoS sebagai responden tunggal bagi memohon agar agensi itu mengiktirafnya sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Pada prosiding hari ini, Peguam Persekutuan, M. Kogilambigai memaklumkan mahkamah bahawa pertikaian yang ditimbulkan oleh pemohon, Zuraida adalah merupakan hal dalaman parti.

Hujahnya, berdasarkan Seksyen 18(C) Akta Pertubuhan keputusan membabitkan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu atau dipersoalkan di mahkamah.

Bagaimanapun menurut peguam, Mohamed Ashmeer Ashrof yang mewakili Zuraida, permohonan mereka tidak membabitkan isu dalaman parti.

Sebaliknya ia menyentuh mengenai kegagalan RoS untuk mengisytiharkan Zuraida sebagai Presiden parti walaupun notis berhubung perlantikan itu telah dihantar kepada agensi terbabit.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menetapkan 11 Mei ini untuk penjelasan lanjut dan keputusan terhadap bantahan tersebut.

Menurut afidavit yang difailkan, satu notis pelantikan Zuraida sebagai Presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktober 2022 telah dihantar ke RoS dan diterima oleh agensi terbabit pada 27 Oktober tahun sama. Namun RoS didakwa tidak memberikan sebarang respons atau merekodkan perihal notis tersebut.

Bagaimanapun, Zuraida kemudian menerima surat bertarikh 19 Disember 2022 daripada parti berkenaan yang menyatakan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shein mengisytiharkan diri sendiri sebagai Presiden PBM dan menggantung keahlian bekas menteri itu.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, beliau hanya mengetahui mengenai pemecatannya daripada PBM melalui portal berita The Star pada 27 Disember 2022, namun tidak pernah menerima sebarang notis, surat atau makluman daripada parti itu mengenai pemecatannya.

Sehubungan bekas Ahli Parlimen Ampang itu memohon deklarasi bahawa tindakan responden mengekalkan Soon sebagai Presiden PBM adalah tidak sah.

Zuraida turut memohon perintah mandamus mengarahkan RoS mendaftar atau mengiktirafnya sebagai presiden PBM berkuat kuasa dari 7 Oktober 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya