PETALING JAYA: Kerajaan wajar memikirkan inisiatif baharu kepada golongan belia agar tidak terus menjadi golongan tercicir pada masa hadapan.
Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, kerajaan wajar memikir inisiatif baharu kepada anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar tidak terus menjadi golongan tercicir dalam kalangan belia.
“Kerajaan boleh membuat program seperti MYStartup kerana dapat membantu anak muda mengetahui ilmu dan selok-belok berkaitan perniagaan.
“Ia juga dapat memberi gambaran tentang alam perniagaan yang lebih meluas agar semangat mereka untuk meneruskan minat dalam bidang perniagaan diteruskan, katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, perbincangan antara Menteri Belia dan Sukan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu dilakukan untuk melibatkan anak muda dalam sesuatu program.
“Menteri Belia dan Sukan boleh bekerjasama dengan pertubuhan belia berdaftar untuk mengadakan program seperti ‘Jom Berbakti’ bersama anak muda, katanya.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan memfokuskan kepada pembangunan beliai yang tercicir dan tidak mempunyai masa depan yang jelas.
Muhammad Faisal juga berkata, dengan kerjasama pihak-pihak terlibat sama-sama turun padang akan memberikan semangat dan pengalaman yang berguna kepada anak muda.
Pekerja Petron Rehat dan Rawat Bukit Gantang, Muhd. Asyraf Al-Rafiq Abdul Latrif, 19, berkata, kerajaan boleh mengadakan program keusahawanan memandangkan ramai anak muda kini mempunyai minat untuk berniaga.
“Program seperti keusahawan sebenarnya boleh membantu anak muda untuk terus mengembangkan minat mereka dalam bidang perniagaan.
“Kerajaan juga perlu membuat skim pinjaman kepada anak muda agar boleh menjadi modal untuk pembukaan perniagaan kecil-kecilan,” katanya ketika dihubungi hari ini. –utusan










