KOTA BHARU: Rakyat negeri ini terus menjadikan daging lembu segar sebagai pilihan utama untuk dimasak dan dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah sempena 1 Syawal.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Siti Khadijah mendapati seawal pukul 8 pagi orang ramai mula beratur untuk mendapatkan bahan mentah tersebut.
Difahamkan dalam tempoh satu jam sebanyak 200 kilogram daging segar tempatan segar sudah habis terjual.
Seorang peniaga, Ikhtiarudin Rahim, 33, berkata, sempena sambutan Aidilfitri sebanyak tujuh ekor lembu disembelih untuk dijual kepada pengguna di pasar ini seawal pukul 8 pagi.
Menurutnya, kebanyakan membuat tempahan lebih awal bagi mengelakkan mereka kempunan untuk menikmati daging segar pada hari raya pertama.
“Setiap kali musim perayaan jualan daging segar akan meningkat sedikit, berbanding pada hari-hari biasa.
“Untuk sekilogram daging segar, saya jual pada harga RM34 termasuk jenis daging batang pinang. Harga yang saya tawarkan ini lebih rendah berbanding harga kawalan yang ditetapkan RM41 sekilogram,” katanya.
Ikhtiarudin memberitahu, lembu tersebut akan disembelih bermula pukul 2 pagi di Wakaf Bharu, Tumpat, sebelum dibawa ke pasar berkenaan.
Seorang lagi peniaga, Che Man Che Lah, 55, berkata, dia dan beberapa peniaga lain hanya menjual satu hingga dua ekor lembu sahaja untuk hari raya.
Katanya, daging tempatan dijual dengan harga RM32 hingga RM34 sekilogram.
Sementara itu, seorang pengguna Saliza Zakaria, 35, berkata, dia memilih untuk membuat tempahan awal bagi mengelakkan beratur panjang mendapat daging segar.
Katanya, daging segar menjadi pilihan utama setiap kali Aidilfitri untuk dimasak rendang.
“Selain itu daging yang dibeli akan dimasak dengan gulai kerutuk sebagai menu tengah hari,” katanya.-utusan










