Penduduk kampung runsing hilang tempat tinggal selepas diusir - Utusan Malaysia

Penduduk kampung runsing hilang tempat tinggal selepas diusir

Penduduk kampung
SEKUMPULAN penduduk Kampung Koskan Tambahan, Serendah di Batang Kali mengadakan perhimpunan aman memohon kerajaan negeri membela nasib mereka selepas diusir, dekat hadapan Bangunan SSAAS di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Nasib penduduk Kampung Koskan Tambahan, Serendah di Batang Kali, Hulu Selangor umpama ‘padi ditanam lalang yang tumbuh’ selepas usaha mereka memohon geran sejak 2006 gagal, sebaliknya pemilikan tersebut diberikan kepada orang lain.

Malah, pada 2 Mei ini, mereka dikehendaki keluar dari rumah yang menjadi tempat tinggal mereka sejak 1980-an, walaupun dibina dengan pelbagai kemudahan seperti longkang, jalan raya, bekalan air dan elektrik.

“Kita pernah memohon sekitar 2006 dan 2007 untuk mendapatkan geran, tetapi ditolak kerana tapak tersebut didakwa menjadi tanah rizab simpanan Sungai Serendah dan merupakan kawasan banjir.

“Tetapi pada 2015, kami memohon sekali lagi tetapi diberitahu tanah tersebut sudah mempunyai pemilik iaitu sebuah syarikat swasta. Kemudian pada Jun tahun lalu, kami menerima notis arahan pengosongan tapak daripada syarikat pemaju itu,” katanya ketika ditemui.

Dia ditemui bersama sekumpulan penduduk yang mengadakan perhimpunan aman di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Memorandum tersebut kemudian diterima Penolong Setiausaha Bahagian Korporat, Nor Baini Mohamad Zainudin.

Jelas Amiramizam, mereka merayu kepada Menteri Besar untuk membela nasib mereka kerana tiada tempat tinggal lain selepas mahkamah memerintahkan tanah berkeluasan kira-kira 0.8 hektar itu dikembalikan kepada pemilik (syarikat pemaju).

“Kami menyambut raya pun ‘ala-kadar’ kerana masih runsing memikirkan tempat tinggal selepas ini. Kami bukan orang berada, ramai warga emas tinggal di sini. Jadi, kami merayu kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri supaya nasib kami dibela. Kami tiada rumah lain,” ujarnya.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Siti Zaharah Zakaria, 42, memberitahu penduduk kampung kecewa dengan tindakan pengusiran tersebut selepas cubaan rundingan dan usaha bertemu dengan pihak berkuasa dibuat setiap tahun.

“Memang marah, saya pun kecewa, kami hendak bela diri. Sepatutnya diberi peluang adakah pertemuan dua muka untuk dengar luahan kami, tetapi tak dilayan. Kami bukan tolak kemajuan, cuma jangan pinggirkan penduduk di sini.

“Kami tahu, tanah ini rizab sungai, bukan kami tak buat permohonan (pemilikan tanah). Setiap tahun penduduk kampung berjumpa dengan pihak berkuasa termasuk Pejabat Tanah dan Daerah (PDT). Tetapi, akhirnya orang lain dapat geran dan kami diusir,” luahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya