PADANG BESAR: Masalah tekanan air rendah di sekitar Kampung Kubang Tiga di sini sejak lebih 10 tahun lalu sering kali menghantui penduduk dan masih tiada penyelesaian berhubung permasalahan tersebut.
Situasi tersebut telah menjejaskan lebih 50 buah rumah penduduk di kampung berkenaan melibatkan kawasan seperti di sekitar Jalan Padang Tebuan, Jalan Bukit Kerengga dan Jalan Padang Bemban.
Walaupun banyak aduan telah dibuat sebelum ini, isu tekanan air rendah itu dilihat semakin meruncing sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk terlibat, malah ada terpaksa menggunakan tandas awam untuk mandi.
Seorang penduduk, Nurlarissa Selina Prom, 46, berkata, dia sekeluarga terpaksa menggunakan tandas awam untuk mandi berikutan tekanan air di rumah amat rendah sehingga menyebabkan gangguan bekalan.
Katanya, dia dan sekeluarga sudah lama menanggung beban akibat masalah air dan pihak berkaitan diharap dapat membantu menyelesaikannya dengan segera.
Seorang lagi penduduk, Cham Eng, 59, berkata, pada waktu siang, tekanan air di kawasan terlibat agak rendah sehingga tidak mampu untuk menyalurkan bekalan ke rumah penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
“Pada waktu itu (siang) memang tekanan sangat rendah sehinggakan air tiada langsung dan kami terpaksa membuat tadahan sendiri pada pukul 2 pagi sehingga 5 pagi untuk kegunaan harian,” katanya di sini, semalam.
Lebih merunsingkan, Cham berkata, bekalan air yang diterima penduduk juga ada kalanya agak keruh sehingga mereka perlu menggunakan penapis.
Katanya, dia juga bernasib baik kerana dapat menggunakan bekalan air telaga bagi mengatasi permasalahan itu untuk tempoh jangka pendek.
“Kami perlu tadah air setiap hari kerana tekanan di sini memang agak teruk sejak sekian lama malah permasalahan ini seolah-olah telah menjadi rutin penduduk di sini,” katanya.
N. Nanthekumar, 58, pula berkata, pihaknya juga terpaksa mengeluarkan kos sendiri bagi membeli tong untuk menyimpan bekalan air setiap hari disebabkan permasalahan itu.
Ujarnya, isu tersebut juga pernah berlarutan sehingga tempoh sebulan dan turut mengganggu urusan harian penduduk seperti memasak, mencuci pakaian dan sebagainya.
“Apabila berlaku permasalahan sebegini, kami terpaksa membuat aduan kepada Syarikat Air Perlis (SAP) bagi membolehkan mereka menghantar lori tangki untuk mengatasi masalah itu buat sementara waktu,” katanya. – UTUSAN










