Penagih tegar dengan 13 rekod jenayah ditahan edar pelbagai jenis dadah - Utusan Malaysia

Penagih tegar dengan 13 rekod jenayah ditahan edar pelbagai jenis dadah

MOHD. Shuhaily Mohd. Zain (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas polis dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang penagih dadah tegar yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah bagaikan tidak serik apabila sekali lagi ditahan polis Isnin lalu di Air Itam di sini, kerana disyaki mengedar pelbagai jenis dadah.

Dalam operasi itu, selain menahan suspek lelaki tempatan berusia 52 tahun berkenaan, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM227,914.

Suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah sejak tahun 2014 dan kali terakhir ditahan adalah di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 pada 2019 di Batu Gajah, Perak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pada Isnin lalu, suspek ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenatah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang melancarkan operasi terancang di kawasan parkir apartment di Air Itam kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

”Suspek ditahan ketika sedang berada di atas motosikal serta dipercayai sedang dalam persiapan untuk menjual dadah kepada pelanggan.

”Menerusi serbuan pertama ini, polis merampas 100 keping aluminium foil mengandungi 1,000 biji dadah jenis Eramin 5 seberat 280 gram bernilai RM8,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, susulan penahanan suspek, polis menyerbu sebuah rumah di Jelutong pukul 4 petang hari yang sama dan merampas pelbagai jenis dadah yang disimpan di situ.

“Antara dadah yang dirampas menerusi serbuan kedua ini ialah 87 paket syabu seberat 4.50 kilogram bernilai RM148,566; sembulan paket heroin seberat 982 gram bernilai RM4,075 dan 85 keping aluminium foil mengandungi 850 biji dadah Erimin 5 seberat 238 gram bernilai RM6,800.

“Selain itu, polis turut merampas lapan paket ganja dan 37 batang rokok berisi ganja seberat 43.3 gram bernilai RM1,948; 1,400 biji pil ekstasi bernilai RM30,800; 800 biji pil WY seberat 80 gram bernilai RM8,800; 29 paket plastik serbuk MDMA bernilai RM5,800 dan 100 paket ketamin bernilai RM13,125,” katanya.

Tambah beliau, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah itu aktif sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan terutama kepada penagih dadah tegar dan pengguna di kelab-kelab malam.

”Hasil ujian saringan air kencing ke atas tangkapan juga mendapati positif dadah dan suspek ditahan reman selama enam hari bermula 4 April hingga 9 April ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd. Shuhaily berkata, polis turut menyita dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal dan kereta jenis Hyundai berjumlah RM37,500 dan wang tunai bernilai RM2,010 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta berjumlah RM267,424.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, polis Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak 246 permit menjual bunga api sehingga hari ini.

“Daripada jumlah itu, 61 di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), 45 di Timur Laut, 28 di Barat Daya, 12 di Seberang Perai Selatan (SPS) dan 100 di Seberang Perai Utara (SPU),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya