Parlimen: Dewan Rakyat lulus RUU Kewangan 2023

(Parlimen): Dewan Rakyat lulus RUU Kewangan 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2023 melalui undian suara.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong ketika membentang rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua bagi meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 dan Akta Kewangan 2018.

Beliau berkata, rang undang-undang berkenaan dicadang bagi menguat kuasa langkah cukai yang diumum pada Belanjawan 2023, selain melaksanakan keputusan kerajaan berkaitan penambahbaikan pentadbiran cukai.

Chee Keong berkata, rang undang-undang itu mengandungi 29 fasal yang dibahagi kepada enam bab yang meminda lima akta dinyatakan.

“Ia berkaitan tarikh kuat kuasa bersesuaian bagi membolehkan persediaan dibuat oleh pembayar cukai dan keputusan kerajaan untuk terus membenarkan potongan cukai ke atas Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967 membabitkan 15 fasal, antaranya Fasal tiga hingga 17 bertujuan meminda akta ibu dan tarikh kuat kuasa bagi fasal 16(f) di bawah subfasal (1) dan sub perenggan 4(a)(iv) di bawah subfasal (1) disyor untuk dipinda pada peringkat Jawatankuasa.

Selain itu, perenggan 46(1)(k) dikekalkan berikutan keputusan kerajaan untuk terus membenarkan potongan cukai ke atas SSPN dan disyor untuk dipinda pada peringkat Jawatankuasa.

Bagi pindaan Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, ia membabitkan dua fasal, antaranya Fasal 18 bertujuan menyatakan pindaan dibuat mula berkuat kuasa apabila berkuatkuasanya akta berkenaan.

Pindaan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 pula mengandungi enam fasal, antaranya Fasal 27 bertujuan membenarkan pembayar cukai mengemukakan borang ditetapkan melalui perantaraan elektronik atau secara penghantaran elektronik.

Mengenai pindaan Akta Kewangan 2018, dua fasal masing-masing Fasal 28 dan Fasal 29 dimasukkan berikutan keputusan kerajaan terus membenarkan pelepasan cukai ke atas SSPN dan disyor untuk dipinda di peringkat Jawatankuasa. – utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN