BEIRUT: Hizbullah mendakwa berjaya menggagalkan dua pencerobohan darat Israel dan melancarkan 19 serangan yang menyasarkan tentera, kenderaan serta kedudukan tentera rejim Zionis di selatan Lubnan.
Serangan kumpulan itu menggunakan dron, roket dan artileri.
Kumpulan itu dalam kenyataan berkata, pejuangnya mengesan satu pasukan infantri Israel yang cuba menyusup masuk ke kawasan Maabar di pinggir Kfartibnit, wilayah Nabatieh ketika tembakan artileri berterusan selama beberapa jam.
Menurut Hizbullah, pasukan itu dipancing ke dalam kawasan serang hendap yang disediakan lebih awal sebelum bahan letupan diletuskan. Pejuang Hizbullah kemudian menyerang tentera Israel menggunakan senjata jarak sederhana dan membedil kawasan itu dengan tembakan artileri sehingga memaksa unit Israel berundur.
Dalam kenyataan berasingan, Hizbullah berkata, satu lagi pasukan Israel memasuki bandar Majdal Zoun di wilayah selatan. Kumpulan itu mendakwa pejuangnya bertempur dengan tentera Israel menggunakan senjata ringan dan sederhana serta roket, selain memusnahkan beberapa kenderaan tentera yang mengiringi mereka.
Hizbullah turut mendakwa menyasarkan sebuah kenderaan tentera Israel jenis Yagi berhampiran dasar sungai di pinggir Zawtar al-Sharqiya, Nabatieh, menggunakan dron berani mati Ababil.
Kumpulan itu berkata, mereka menyerang dua kenderaan perisai Israel jenis Namera, masing-masing di Tallat al-Salha berhampiran Qantara di Nabatieh dan di Tallat al-Hamamis di selatan Khiam menggunakan dron Ababil serta mendakwa serangan itu mengenai sasaran.
“Sebuah kenderaan tentera Humvee di Tallat al-Hamamis turut disasarkan dan terkena serangan. Serangan roket terhadap tumpuan tentera dan kenderaan Israel di pinggir barat daya Majdal Zoun di Jadidat Marjayoun turut dilaksanakan, selain tiga kali menyerang kawasan pinggir selatan Majdal Zoun.
“Kumpulan kami juga melancarkan dua serangan dron dan satu bedilan roket terhadap pasukan Israel berhampiran Kfartibni,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam serangan lain, Hizbullah berkata, mereka menyasarkan sebuah jentolak tentera Israel berhampiran Majdal Zoun menggunakan dron Ababil serta membedil sebuah kedudukan tentera Israel yang baharu diwujudkan di Maroun al-Ras dengan roket.
Kumpulan itu turut menyerang pusat kawalan tentera Israel berhampiran Yahmar al-Shaqif menggunakan dron dan menyatakan serangan itu tepat mengenai sasaran.
Mereka kemudian mengumumkan berjaya memintas sebuah dron Israel jenis Hermes 450 di ruang udara Iqlim al-Tuffah menggunakan peluru berpandu darat ke udara sehingga memaksanya berundur.
“Pejuang kami turut menyasarkan pasukan Israel yang berada di dalam sebuah bangunan di Khiam menggunakan dron Ababil dan menyerang kedudukan artileri Israel yang baharu diwujudkan di Adaisseh dengan dron berani mati. Kedua-dua serangan itu mengenai sasaran secara langsung.
“Operasi tersebut dilaksanakan bagi mempertahankan Lubnan dan rakyatnya, serta sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh Israel dan serangan ke atas kampung-kampung di selatan Lubnan,” katanya.
Serangan itu berlaku ketika operasi ketenteraan Israel di Lubnan masih berterusan walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata rapuh sejak 17 April yang dilanjutkan sehingga awal Julai dengan korban terus meningkat kepada 3,711 orang, manakala 11,483 lagi cedera. – AGENSI










