Gol Diallo bantu Ivory Coast tumbangkan Ecuador

Gol Diallo bantu Ivory Coast tumbangkan Ecuador

PEMAIN Ivory Coast meraikan kejayaan mereka menewaskan Ecuador 1-0 dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia 2026 di Stadium Philadelphia, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHILADELPHIA: Gol saat akhir daripada Amad Diallo memastikan Ivory Coast memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan Ecuador 1-0 dalam aksi Kumpulan E, semalam.

Ketika perlawanan kelihatan seri tanpa jaringan, pemain sayap Manchester United itu muncul wira pasukannya apabila menyempurnakan hantaran lintang dari sebelah kanan pada minit ke-90 untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat juara Afrika tersebut.

Kemenangan itu turut menamatkan penantian 12 tahun Ivory Coast untuk mencatat kemenangan di pentas Piala Dunia sejak menewaskan Jepun pada edisi 2014 di Brazil.

Ecuador yang tampil dengan reputasi pertahanan ampuh hasil kempen kelayakan Amerika Selatan sebelum ini, memberikan tentangan sengit dan hampir membuka jaringan beberapa kali.

Skuad kendalian Sebastian Beccacece itu berpeluang untuk menembusi gawang lawan pada babak pertama namun percubaan John Yeboah dan Alan Minda dinafikan oleh palang.

Ivory Coast yang dibimbing Emerse Fae turut mencipta beberapa peluang berbahaya, namun gagal memecah kebuntuan apabila Elye Wahi sekadar menyaksikan percubaannya terkena palang selepas rehat.

Perlawanan di Stadium Philadelphia yang disaksikan 68,274 penonton itu berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Bagaimanapun, ketika keputusan seri tanpa jaringan dilihat bakal menjadi penamat paling adil, Ivory Coast mencuri kemenangan menerusi serangan pantas pada penghujung permainan.

Wilfried Singo melakukan larian menarik dari kawasan pertahanan sebelum menghantar bola ke dalam kotak penalti untuk disudahkan Diallo dengan tenang menewaskan penjaga gol Ecuador, Hernan Galindez.

Selepas ini, Ivory Coast akan berdepan Jerman di Toronto, manakala Ecuador dijadualkan menentang pendatang baharu, Curacao dalam aksi kedua Kumpulan E pada Sabtu ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN