Parlimen: APAD kawal selia pendapatan p-hailing

Parlimen: APAD kawal selia pendapatan p-hailing

HASBI HABIBOLLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengawal selia pendapatan penunggang perkhidmatan penghantaran barangan atau makanan menggunakan motosikal (p-hailing).

Ia bertujuan bagi mengatasi isu manipulasi atau penindasan pendapatan pekerja oleh syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, ketetapan itu selaras dengan Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 yang diluluskan dengan lebih suara bersetuju hari ini, selepas dibahaskan seramai sembilan senator di Dewan Negara, semalam.

Berdasarkan pindaan ini, jelas beliau lagi, pindaan ke atas Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu Akta 715 bertujuan memperuntukkan keputusan kerajaan melibatkan pengawal seliaan perkhidmatan kenderaan barangan termasuk penggunaan motosikal yang disediakan menerusi perniagaan pengantaraan perkhidmatan p-hailing.

“Isu mengenal manipulasi pendapatan pekerja p-hailing ini memang kita ambil maklum dan ini juga menjadi perkara asas mengapa kerajaan ambil keputusan untuk kawal selia industri ini,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian itu di persidangan Dewan Negara, hari ini.

Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 mengandungi enam fasal.

Sementara itu, Hasbi turut menjelaskan persidangan Dewan Negara hari ini turut meluluskan Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 yang bertujuan meminda Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

Rang undang-undang berkenaan antara lain memperuntukkan kenderaan p-hailing sebagai kenderaan barangan yang tertakluk kepada lesen perniagaan pengantaraan.

Hasbi ketika menggulung rang undang-undang itu berkata kementerian bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah merangka satu draf kurikulum atau silibus pembelajaran bagi penunggang p-hailing mendapatkan lesen vokasional

Menurut Hasbi kursus tersebut boleh ditawarkan oleh institut memandu dan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing namun akan dipantau dan dikawal selia sepenuhnya oleh pihak JPJ dan kadar fi bagi mendapatkan lesen berkenaan hanya akan diputuskan selepas punca kuasa perundangan itu ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN