Panggilan kebakaran meningkat akibat cuaca panas - Utusan Malaysia

Panggilan kebakaran meningkat akibat cuaca panas

JBPM Pulau Pinang menerima peningkatan panggilan membabitkan kes kebakaran sebanyak 75.6 peratus susulan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menca­tatkan peningkatan panggilan membabitkan kes kebakaran sebanyak 75.6 peratus susulan cuaca panas yang melanda ketika ini.

Pengarah JBPM negeri, Saadon Mokhtar berkata, sehingga 12 April lalu, jumlah panggilan kebakaran diterima oleh JBPM Pulau Pinang adalah sebanyak 72 kes berbanding 41 kes yang diterima tahun lalu.

“Musim panas yang berlaku ketika ini memberi kesan terhadap peningkatan jumlah panggilan kebakaran yang diterima oleh JBPM Pulau Pinang.

“Data yang amat mengejutkan menunjukkan seramai tiga mangsa terlibat di dalam kebakaran bangunan bagi bulan ini sahaja berbanding tidak ada mangsa direkodkan bagi tahun lepas,” katanya ketika dihubu­ngi di sini semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap satu di enam kawasan di Semenanjung susulan cuaca panas mencecah suhu maksimum harian 35-37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Setakat ini, terdapat tiga mangsa yang maut akibat kebakaran di Pulau Pinang apabila seorang kanak-kanak pe­rempuan, G. Sri Laavanya maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Pisang, Air Itam, awal pagi Isnin lalu.

Dalam kejadian petang kelmarin pula, seorang wanita orang kurang upaya (OKU), Nuraida Hashim, 43, turut maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Alma, Bukit Mertajam.

Seorang lagi mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti turut ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Jalan Seri Bahari, awal pagi semalam.

Menurut Saadon, bagi pecahan kepada jumlah kebakaran yang melibatkan struktur ba­ngunan pula, JBPM negeri menerima sebanyak 13 kes berbanding sembilan kes tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 44.4 peratus.

Dalam pada itu katanya, JBPM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan tahap keselamatan di premis masing-masing berada dalam keadaan terbaik.

“Orang ramai perlu memastikan keselamatan rumah kediaman dan premis berada pada tahap yang baik lebih-lebih lagi ketika musim panas yang sedang melanda negara pada ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN