Tampil dengan album sulung Sementara, Selamanya, Fajar Noor bakal buat persembahan di Malaysia - Utusan Malaysia

Tampil dengan album sulung Sementara, Selamanya, Fajar Noor bakal buat persembahan di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Fajar Noor mengumumkan bakal hadir ke Malaysia tidak lama lagi untuk mengadakan persembahan album sulungnya secara langsung.

Kehadiran julung kali itu diatur khas bagi mempromosikan album terbaharu beliau bertajuk “Sementara, Selamanya” sekali gus mengubat kerinduan para peminat di Malaysia.

Pengumuman tersebut dibuat sendiri oleh Fajar ketika bersiaran dalam sesi temu bual secara langsung di aplikasi TikTok bersama stesen radio ERA Sabah, ERA Sarawak dan portal hiburan Gempak baru-baru ini.

“Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya. Saya sangat teruja untuk akhirnya bertemu kalian buat kali pertama.

“Saya harap persembahan album secara langsung ini akan menjadi momen yang istimewa buat kita semua. Saya tidak sabar untuk membawakan lagu-lagu daripada album ini secara langsung dan berkongsi pengalaman itu bersama kalian,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Mengulas mengenai proses pembikinan album pertamanya itu, Fajar mengakui terpaksa meletakkan sepenuh kejujuran bagi memastikan setiap karya yang dihasilkan benar-benar berkualiti.

Hal ini kerana sebahagian besar lagu yang dimuatkan dalam naskhah berkenaan disifatkan sebagai coretan yang amat peribadi dan lahir daripada lubuk hatinya sendiri.

“Cabaran terbesar adalah untuk jujur dengan diri sendiri. Banyak lagu dalam album ini datang daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya,” ujarnya.

Mengenai latar belakang kisah utama, album “Sementara, Selamanya” ini mengetengahkan konsep kitaran percintaan yang merangkumi fasa jatuh cinta, konflik, sehinggalah rasa kehilangan yang dihasilkan menerusi kerjasama bersama penerbit terkenal, Arsy Widianto serta Iqbal Siregar.

Untuk rekod, album sulung edaran Universal Music Malaysia ini sudah boleh distrim di semua platform digital, manakala maklumat lanjut mengenai tarikh dan lokasi persembahan langsung akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi media sosial rasmi artis berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN