LONDON: United Kingdom (UK) pada Khamis mencatatkan hari kelapan bagi tahun 2026 dengan suhu melonjak melebihi 34 darjah Celsius sekali gus memecahkan rekod terdahulu dengan perbezaan sehari, menurut Pejabat Meteorologi.
Agensi cuaca UK itu menerusi hantaran di laman X memaklumkan bahawa bacaan suhu sementara mencecah 34.4 darjah Celsius telah dilaporkan di Wisley yang terletak di wilayah Surrey, selatan England.
“Suhu itu sekali gus memecahkan rekod bagi bilangan hari tertinggi yang mencatatkan suhu 34 darjah Celsius atau lebih tinggi dalam tempoh satu tahun kalendar,” tambah agensi itu.
Rekod tertinggi sebelum ini adalah sebanyak tujuh hari, yang pernah berlaku pada 2020 dan 1976.
Terdahulu, England mencatatkan bulan Jun yang paling panas sejak rekod mula diambil pada 1884, ekoran gelombang haba melampau yang menjejaskan rangkaian pengangkutan, sekolah dan operasi hospital.
Para saintis sebelum ini sering memberi amaran bahawa fenomena cuaca ekstrem seperti gelombang haba kini menjadi lebih kerap berlaku dan semakin sengit impak daripada perubahan iklim yang berpunca daripada aktiviti manusia.
Dalam perkembangan berkaitan, pemantau iklim Kesatuan Eropah (EU) melaporkan bahawa rantau Eropah Barat turut merekodkan bulan Jun yang paling panas dalam sejarah, Ia memecahkan rekod yang dicatatkan pada tahun lepas.
Walaupun keadaan cuaca di England ketika ini kurang lembap berbanding pada bulan Jun tetapi Pejabat Meteorologi memberi amaran awal minggu ini bahawa keadaan panas berkenaan masih boleh mencetuskan masalah kesihatan dan gangguan pada infrastruktur.
Agensi perkhidmatan cuaca itu juga mengeluarkan amaran bahawa gelombang haba marin kini sedang berlaku dengan suhu permukaan air laut mencecah 18 darjah Celsius di Laut Utara, berhampiran kawasan pantai tenggara.– AFP










