JOHOR BAHRU: Kesibukan membuat liputan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini tidak menghalang petugas media menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara.
Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohamad Fauzi Ishak berkata, sebahagian pengamal media di negeri ini tetap memilih untuk mengundi secara fizikal walaupun mereka layak untuk memohon undi secara pos.
Katanya, pilihan itu dibuat kerana mereka juga mahu merasai suasana mengundi bersama kira-kira 2.7 juta rakyat Johor yang lain.
“Walaupun pengamal media layak mengundi secara pos kerana bertugas pada hari pengundian, masih ramai yang memilih untuk datang ke pusat mengundi untuk mengundi secara fizikal.
“Mereka bukan sahaja komited memastikan liputan berita yang tepat dan pantas, tetapi juga melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kempas, di sini hari ini.
Mohamad Fauzi yang juga Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) turut berharap petugas media akan laksanakan tanggungjawab dengan profesional dan beretika sepanjang bertugas.
Sementara itu, wartawan akhbar cetak, Izlaily Nurul Ain Hussein, 39, pula memberitahu, dia memilih untuk mengundi secara fizikalnya kerana lokasi pusat pengundian tidak jauh daripada kediaman.
“Setiap kali pilihan raya memang saya bertugas. Kebiasaannya saya akan keluar mengundi awal sebelum memulakan tugasan seharian sehingga lewat malam apabila keputusan penuh diperoleh,” katanya yang merupakan ibu kepada empat cahaya mata.
Seorang lagi petugas media, Najmi Nor’azam, 28, pula memberitahu, dia bersyukur urusan pengundian berjalan lancar walaupun pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Serampang, di sini dipenuhi pengundi lain.
“Saya keluar mengundi pada pukul 8.30, Alhamdulillah tidak terlalu lama prosesnya kerana saya perlu bertugas selepas itu,” katanya yang merupakan jurugambar sebuah syarikat media cetak tempatan.-UTUSAN









