Nilai harumanis cecah RM53.5 juta musim ini, hasil 2,143 metrik - Utusan Malaysia

Nilai harumanis cecah RM53.5 juta musim ini, hasil 2,143 metrik

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (empat dari kanan) membuat simbolik gimik sewaktu Majlis Pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis Tahun 2023 di Dewan 2020, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengeluaran hasil harumanis musim ini dianggarkan sebanyak 2,143 tan metrik dengan anggaran nilai boleh mencecah sehingga RM53.5 juta.

Jangkaan jumlah pengeluaran itu adalah meningkat berbanding tahun lalu yang merekodkan sebanyak 1,429 tan tan metrik dengan nilai RM32.9 juta.

Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, pihaknya mensasarkan peningkatan bagi pengeluaran hasil harumanis pada tahun ini berikutan daripada pertambahan keluasan tanaman yang mencapai 1,695 hektar.

“Hasil pemantauan Jabatan Pertanian negeri mendapati peratusan pengeluaran bunga bagi musim ini juga adalah tinggi iaitu sekitar 92.5 peratus merangkumi 1,451.3 hektar dari keluasan tanaman berhasil di mana pokok-pokok yang tidak berbunga pada musim lepas berjaya mengeluarkan hasil pada tahun ini.

“Bagaimanapun, atas beberapa faktor seperti cuaca, suhu dan pengurusan ladang menyebabkan keluasan yang berputik berkurangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis 2023 di Dewan 2020 di sini hari ini.

Berangkat menyempurnakan majlis pelancaran itu adalah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Dalam pada itu, mengulas mengenai harga Harumanis pada musim ini, Hafizuddin berkata, bagi pasaran dalam negeri, buah tersebut dijual pada harga antara RM25 sehingga RM45 sekilogram mengikut gred.

Katanya, bagi pasaran luar negeri pula, harga boleh mencecah sehingga RM65 sekilogram bagi gred premium.

“Untuk buah mangga harumanis premium di bawah Jabatan Pertanian negeri pula, kita memasarkannya sekitar RM140 untuk tiga kilogram,” katanya.

Di samping itu, Hafizuddin berkata, pelancaran festival berkenaan adalah menandakan bermulanya musim buah mangga harumanis dari bulan April sehingga Jun depan.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia berpeluang untuk menikmati buah itu dengan memilih pembelian secara dalam talian atau terus dari ladang harumanis sekitar negeri ini.

“Pelanggan boleh membuat pembelian melalui pengedar sah seperti Kayangan Agro Farm Sdn Bhd, Agro Bazar Online, Sama-Sama Local Maybak dan pelbagai lagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.