SIK: Pemilihan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sik yang diadakan semula kekal dimenangi Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim dengan undi yang lebih besar iaitu sebanyak 357 undi berbanding penyandangnya, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah, 114 undi.
Keputusan tersebut diumumkan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Sik, Suhaini Hashim selepas proses pengundian semula jawatan itu tamat kira-kira pukul 1 petang ini.
Pertandingan empat penjuru itu turut menyaksikan dua calon lain, iaitu bekas Ahli Parlimen Sik, Dr. Mansor Abdul Rahman mendapat tiga undi manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid memperoleh 17 undi.
Muhamad Khizri berkata, beliau mempunyai tugas besar untuk dilaksanakan berikutan pilihan raya negeri (PRN) semakin dekat.
“Saya bersyukur kerana pemilihan kali kedua ini berjalan lancar dan sempurna dengan jumlah perwakilan yang mengundi sangat membanggakan walaupun berada di bulan Ramadan, ini membuktikan UMNO masih diminati dan relavan.
“Walaupun masa untuk saya melakukan gerak kerja pilihan raya semakin singkat, ia tidak mustahil untuk dilakukan untuk kita menang pada PRN nanti,” katanya ketika ditemui di Pejabat UMNO Bahagian Sik, hari ini.
Sementara itu, Mohd. Tajuddin pula berkata, selaku bekas Ketua UMNO Bahagian Sik, beliau berlapang dada menerima keputusan pemilihan kali ini.
“Sebenarnya saya hendak menarik diri untuk bertanding kali ini tetapi di saat akhir ia tidak dibenarkan. Semua sudah ditentukan oleh Allah, yang penting selepas ini kita jangan lagi berpuak-puak. Kita perlu fokus kepada PRN untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali kerusi di Kedah,” katanya.
Dalam pemilihan berlangsung pada 18 Mac lalu, Muhamad Khizri yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Sik pada penggal lalu meraih 229 undi menewaskan Mohd. Tajuddin yang memperolehi 228 undi.
Bagaimanapun, pada 28 Mac lalu, akhbar ini melaporkan pemilihan semula jawatan itu perlu diadakan selepas menerima surat daripada Ibu Pejabat UMNO. – UTUSAN