Daerah menua: Seremban ke arah mesra warga emas

Daerah menua: Seremban ke arah mesra warga emas

MASRI Baharuddin beramah mesra dengan peserta Kejohanan Catur Piala Ahli Majlis, MBS 2025 DUN Sikamat dan DUN Ampangan di Dewan Komuniti, Taman Coral Height, Sikamat, Seremban hari ini. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bandar raya Seremban kini menuju ke arah kawasan mesra warga emas dengan penyediaan infrastruktur, dasar, sosial, ekonomi dan teknologi yang dapat meningkatkan kualiti hidup golongan tersebut.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Ir. Ts. Masri Baharuddin berkata, selain itu pelbagai pendekatan akan diambil bagi memastikan golongan warga emas itu akan kekal produktif serta rasa dihargai.

“Daerah menua ini merujuk pada keadaan apabila sebahagian besar penduduk adalah daripada warga emas. Bandar raya Seremban juga tidak kecuali dengan sekurang-kurangnya seramai 47,600 warga emas telah direkodkan melalui data dua tahun lalu.

“Apa yang paling penting adalah beberapa tindakan strategik yang perlu kita buat dengan pertamanya bagi memastikan kesemua premis di bandar raya ini mesra OKU dan warga emas.

“Kita kena adakan infrastruktur bandar warga emas iaitu kemudahan awam tanpa halangan kepada golongan warga emas ini. Mereka (warga emas) ini tidak boleh naik tangga, jadi semua premis harus serta diwajibkan mempunyai ramp (tanjakan?

“Kemudahan lif dahulu yang diwajibkan bagi bangunan lima tingkat ke atas juga kita boleh cadangkan untuk dilengkapi di bangunan dengan dua tingkat ke atas selain laluan pejalan kaki dan sebagainya yang selamat.

“Selain itu pengangkutan awam dengan tempat duduk khas bagi mereka yang dah berusia juga taman rekreasi yang mesra warga emas dengan peralatan senaman ringan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Catur Piala Ahli Majlis MBS 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dan DUN Ampangan di Dewan Komuniti, Taman Coral Height, di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan Seremban merupakan antara 10 daerah menua iaitu penduduk berusia 65 tahun dan lebih mencapai tujuh peratus pada 2025 menerusi statistik Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran 2025

Dalam pada itu, Masri berkata, pihaknya juga akan cuba mengetengahkan cadangan bagi memperbanyakkan pusat komuniti dengan rawatan mesra warga emas selain memperbanyakkan program pencegahan penyakit kronik.

Sementara itu, katanya, seramai 260 orang peserta berusia antara enam hingga 70 tahun mengambil bahagian dalam kejohanan catur berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN