SEREMBAN: Bandar Seremban juga tidak terkecuali menghadapi masalah bangunan terbengkalai dan terbiar yang sedikit sebanyak mencacatkan pemandangan bandar ini yang telah mencapai status bandar raya sejak tahun 2020.
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, masalah tersebut bukanlah perkara baharu malah ada yang mencecah berpuluh tahun namun masih tidak dapat diselesaikan ekoran pelbagai faktor.
Ujar beliau, rata-rata bangunan terbiar dan terbengkalai itu merupakan milikan pihak swasta dengan ada di antara syarikat yang memilikinya sudah pun gulung tikar ataupun tidak dapat meneruskan projek berkenaan ekoran menghadapi pelbagai masalah termasuk kewangan.
“Rata-rata adalah hartanah swasta, setakat ini kami tidak boleh berbuat apa-apa melainkan ia milik kerajaan mungkin sesuatu tindakan boleh diambil.
“Bagaimanapun kami sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memantau, jika bangunan-bangunan itu dilihat boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai dan penduduk, kami boleh mengeluarkan notis, kompaun dan sebagainya kepada pemilik bangunan terbabit.
“Menjadi tanggungjawab pemilik bangunan untuk memastikan perkara tersebut termasuk bagi menghalang orang ramai masuk ke kawasan bangunan mereka itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Jelas beliau lagi, bangunan-bangunan terbengkalai dan terbiar tersebut sememangnya membawa beberapa masalah kepada MBS termasuk mengenai kutipan cukai taksiran.
“Kami berdepan masalah bangunan terbengkalai ini di beberapa kawasan, bukan sahaja yang terbengkalai malah ada yang sudah siap namun terbiar lama.
“Sebaik mungkin kami akan mencari kaedah terbaik agar bangunan-bangunan ini boleh dibangunkan semula. Sebab itu kami amat menggalakkan supaya pemilik mahupun syarikat lain yang berminat untuk mengambil alih bangunan-bangunan ini.
“Sebelum ini ada beberapa projek yang kami dengar terdapat syarikat yang mahu ambil alih namun tidak berhasil, mungkin ada beberapa isu berbangkit lain yang tidak dapat diselesaikan,” katanya.
Sementara itu Masri berkata, pihak MBS bukan sahaja berdepan masalah bangunan-bangunan besar yang terbengkalai malah termasuk bangunan lama rumah kedai di tengah bandar Seremban yang ada di antaranya terbiar usang tanpa diambil tindakan oleh pemilik.
“Ada rumah-rumah kedai lama di bandar Seremban lama yang usang dan tidak terjaga malah ada yang sudah roboh, itu juga kami berikan notis. Ada juga yang kami berusaha untuk mencari pemilik-pemilik kerana terdapat cadangan diterima daripada pelbagai pihak untuk membangunkannya semula termasuk untuk dijadikan sebagai kafe,” katanya. – UTUSAN










