SEREMBAN: Struktur tambahan di dua buah premis restoran popular di Pusat Dagangan Seremban 2 dekat sini dirobohkan menerusi operasi pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) hari ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Baharuddin berkata, struktur tambahan itu dirobohkan kerana ia didirikan di atas rizab awam.
Katanya, Jabatan Kawalan Bangunan MBS telah mengeluarkan dua notis meroboh dalam tempoh 14 hari kepada kedua-dua premis berkenaan sejak 2024 dan satu notis tahun lalu namun pemilik masih gagal mematuhi arahan meroboh.
“MBS telah memutuskan supaya notis pengosongan premis dalam tempoh 30 hari dikeluarkan kepada pemilik binaan pada 22 Mei 2025 terhadap dua premis terlibat yang mana kedua-dua premis tersebut merupakan pemilik yang sama.
“Pemilik telah memohon rayuan penangguhan kerja-kerja perobohan kepada MBS dan pihak kami telah memberikan penangguhan sehingga 31 Disember lalu. Namun demikian, pemilik masih gagal mematuhi arahan notis pihak MBS,” katanya di sini hari ini.
Berikutan itu, MBS dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan pihak lain telah melaksanakan kerja merobohkan struktur tambahan itu mulai pukul 9 pagi tadi.
Masri memberitahu, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (AKTA 133) yang mana tiada seorang pun boleh mendirikan sesuatu bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tempatan.
Selain ia menjadi halangan dan kacau ganggu awam selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 46 (1) (a) dan 86 (d) dalam akta yang sama.
Jelasnya, ia juga menjadi kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) iaitu pencerobohan tanah kerajaan kerana binaan di atas rizab awam. – UTUSAN








