GEORGE TOWN : Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api dikenal pasti sebagai salah satu daripada tiga kerusi yang mungkin ditandingi oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Ketua War Room Gerakan, Oh Tong Keong berkata, bagaimanapun, keputusan itu masih belum dimuktamadkan kerana perlu ada persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat dan PN Sabah sendiri.
“Setakat ini, kita hanya buat cadangan (untuk bertanding) tiga kerusi sahaja dan salah satu kerusi tersebut ialah Api-Api. Tapi, keputusan akhir masih belum selesai (dimuktamadkan),” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai pada Februari lalu mengumumkan bahawa parti tersebut mungkin bertanding tiga kerusi DUN pada PRN Sabah dan pihaknya sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk ditandingi.
Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan berkata, ketika ini, semua calon yang disenarai pendek untuk bertanding telah dihantar dengan profil peribadi masing-masing kepada kepimpinan pusat untuk pertimbangan.
“Calon sudah ada, senarai pun sudah siap. Kita ada calon anak jati Sabah sendiri. Senarai ini akan dibincangkan di peringkat pusat sebelum dimuktamadkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penyertaan Gerakan dalam PRN Sabah adalah sebahagian daripada tanggungjawab politik parti itu untuk memastikan PN mempunyai kekuatan di seluruh negeri.
“Kita mesti satu hati dalam parti, ada tanggungjawab untuk bantu rakan-rakan komponen di Sabah. Bukan hanya Pulau Pinang, tetapi negeri lain juga akan menghantar wakil berkempen di Sabah,” kata Pengerusi Gerakan Pulau Pinang itu lagi.
Ditanya mengapa Gerakan berhasrat bertanding di Sabah, beliau menjelaskan, ia adalah peluang yang wajar untuk dimanfaatkan sebagai parti politik.
“Kalau kita sebagai pemain bola, tiap-tiap kali hanya berlatih tetapi tidak turun bertanding, ia tidak cukup. Sebagai ahli politik, kita mesti masuk gelanggang bila ada peluang. Kita mahu berkhidmat untuk rakyat, bukan jadi parti elit,” katanya.-UTUSAN










