PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron menyifatkan perkembangan terbaharu di Gaza sebagai satu peluang penting untuk mencapai keamanan, susulan kesediaan Hamas memberi maklum balas terhadap cadangan gencatan senjata yang dikemukakan Amerika Syarikat.
Menurut Macron, maklum balas tersebut menunjukkan pembebasan tahanan Israel serta pelaksanaan gencatan senjata semakin menghampiri kenyataan, sekali gus membuka lembaran baharu ke arah perdamaian jangka panjang di rantau bergolak itu.
“Kini kita mempunyai peluang untuk membuat kemajuan yang menentukan arah perdamaian,” kata Macron dalam satu kenyataan.
Presiden Perancis itu menegaskan, negaranya akan memainkan peranan sepenuhnya dalam menyokong usaha damai tersebut, seiring dengan usaha diplomatik melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta kerjasama rapat dengan AS, Israel, Palestin dan rakan-rakan antarabangsa lain.
Terdahulu, Hamas bersetuju dengan sebahagian cadangan gencatan senjata Trump termasuk pertukaran tahanan dan penubuhan pentadbiran teknokrat sementara di Gaza, namun menolak campur tangan kuasa asing dalam pentadbiran wilayah tersebut.
Kenyataan Macron hadir ketika dunia memerhati rapat perkembangan rundingan damai ini yang berpotensi menamatkan perang berdarah di Gaza yang telah meragut puluhan ribu nyawa sejak Oktober 2023.










