‘Modal RM200,000, jualan baru 15%’

‘Modal RM200,000, jualan baru 15%’

PENIAGA terpaksa tanggung rugi berikutan kuasa membeli orang ramai tidak sehebat tahun lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Peniaga pakaian di bazar Aidilfitri Dataran Dato’ Sheikh Ahmad di sini runsing apabila hasil jualan mereka masih perlahan meskipun menjelang beberapa hari lagi sebelum sambutan Aidilfitri.

Hanya berbaki beberapa hari menjelang Aidilfitri, ada dalam kalangan peniaga pakaian masih belum mendapat pulangan modal jauh sekali meraih untung.

Seorang peniaga pakaian wanita, Faizal Baharom, 44, berkata, meskipun sudah dua minggu berniaga namun hasil jualan masih belum dapat menampung jumlah modal yang dikeluarkan sebelum ini.

Katanya, situasi tersebut jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini dengan hasil jualan sangat memberansangkan.

“Sempena Aidilfitri tahun ini, kami mengeluarkan modal sekitar RM200,000 bagi menyediakan pelbagai jenis pakaian wa­nita seperti baju kurung moden, kebaya, blouse dan lain-lain.

“Bagaimanapun setakat ini, hasil jualan sangat rendah iaitu hanya sekitar 15 peratus daripada jumlah modal yang dikeluarkan itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambah Faizal, jika sebelum ini, mereka dapat meraih pula­ngan modal hanya dalam masa lima hari sewaktu beroperasi di tapak berkenaan.

Kata pemilik Cik Odah Butik itu, antara faktor jualan merosot itu antaranya disebabkan orang ramai lebih memilih membeli pakaian secara dalam talian melalui pelbagai platform media sosial seperti Tiktok, Facebook dan lain-lain.

“Keadaan itu sangat memberi kesan kepada para peniaga di tapak bazar-bazar Aidilfitri ini. Memang sukarlah kita bersaing dengan peniaga dalam talian ini yang mampu menawarkan harga lebih rendah

“Peniaga di bazar pula perlu mengeluarkan banyak kos seperti sewaan tapak yang mencecah RM2,000 untuk 12 hari, selain perlu membayar kos-kos lain untuk beroperasi. Meskipun kita turut menurun harga namun masih tidak mendapat sambutan. Kerajaan perlu mencari kaedah sewajarnya agar nasib peniaga di bazar ini tidak terus dihimpit dengan kemerosotan hasil jualan akibat lambakan peniaga secara dalam talian.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN