ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) meningkatkan pengeluaran minyak ke paras tertinggi bulan lalu, sekali gus mengetepikan kebimbangan mengenai kawalan Iran terhadap Selat Hormuz serta memanfaatkan keputusan negara itu untuk keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Menurut laporan dikeluarkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kelmarin, UAE mengepam 4.1 juta tong minyak sehari pada Jun, meningkat ketara berbanding pengeluaran 3.5 juta tong sehari tahun lalu.
Angka terkini itu mengatasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu empat juta tong sehari pada 2020, kepada pakatan OPEC+ dilanda perang harga antara Arab Saudi dan Russia.
Peningkatan mendadak pengeluaran UAE mencerminkan penilaian penganalisis bahawa Abu Dhabi sejak sekian lama berasa terkekang oleh OPEC yang diterajui Arab Saudi.
UAE sebelum ini melabur besar-besaran bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, namun mendakwa Arab Saudi mengehadkan pengeluaran negara itu dalam usaha menyokong harga minyak global.
Abu Dhabi meninggalkan OPEC pada Mei lalu susulan keretakan hubungan yang semakin ketara dengan Riyadh, termasuk perbezaan pendirian berkaitan isu Yemen, Sudan dan Israel.
Keputusan UAE untuk keluar daripada OPEC disambut baik oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang bimbang terhadap kenaikan harga tenaga susulan perangnya ke atas Iran.
Harga minyak mentah Brent melonjak melebihi AS$100 (RM407) setong ketika kemuncak konflik yang bermula pada 28 Februari lalu.
Keupayaan UAE mengekalkan eksportnya menunjukkan bagaimana negara itu berjaya mengatasi kekangan akibat kawalan Iran terhadap Selat Hormuz.
UAE mempunyai saluran paip yang berakhir di Pelabuhan Fujairah, sekali gus membolehkan penghantaran minyak dilakukan tanpa melalui Selat Hormuz. Bagaimanapun, kemudahan itu masih terdedah kepada serangan dron Iran.- AGENSI










