12 pasukan rebut kejuaraan Liga Super musim baharu

12 pasukan rebut kejuaraan Liga Super musim baharu

MFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan 12 pasukan akan bersaing pada saingan Liga Super musim 2026-2027 bagi merebut kejuaraan musim baharu yang dijadual membuka tirai pada 21 Ogos ini.

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan kembali mempertahankan kejuaraan, namun bakal menerima tentangan sengit daripada pencabar utama seperti Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Sabah FC.

Turut sah beraksi musim depan ialah Star City FC yang dijenamakan semula daripada Imigresen FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, DPMM FC serta Melaka FC.

Bagaimanapun, satu lagi slot masih menjadi tanda tanya apabila status PDRM FC hanya akan diputuskan selepas badan bebas First Instance Body (FIB) bersidang pada Khamis ini.

PDRM sebelum ini diberikan lesen berserta sekatan (licence with sanction) dan diberi tempoh sehingga 15 Julai untuk mengemukakan maklumat tambahan bagi memenuhi Kriteria Kewangan serta Kriteria Infrastruktur yang ditetapkan.

MFL memaklumkan keputusan FIB itu akan turut menjadi pertimbangan Ahli Lembaga Pengarah badan pengelola liga berkenaan sebelum membuat keputusan muktamad mengenai penyertaan kelab tersebut.

“Keputusan FIB ke atas status PDRM FC ini juga akan turut diambil pertimbangan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL yang akan melihat secara menyeluruh tahap kesediaan dan kelangsungan kelab itu untuk menguruskan operasi sepanjang musim 2026-2027,” menurut kenyataan MFL.

Sekiranya PDRM gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, slot terakhir Liga Super dijangka menjadi milik Kelantan Red Warrior FC yang dilihat berada dalam kedudukan terbaik untuk menggantikan pasukan berkenaan.

Walaupun menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro musim lalu di tangga keempat, Kelantan Red Warrior FC telah melengkapkan segala dokumen berkaitan kriteria kewangan dan dianggap lebih bersedia berbanding UM Damansara United FC serta Bunga Raya FC yang turut memohon tempat dalam Liga Super.

Armed Forces FC pula memilih untuk tidak mengemukakan permohonan bagi beraksi di pentas tertinggi bola sepak negara musim depan.

MFL menjelaskan penyertaan 12 pasukan dilihat mampu memberi impak positif kepada ekosistem liga kerana hanya kelab yang benar-benar memenuhi syarat pelesenan, kewangan dan infrastruktur dibenarkan bertanding.

“Pengurangan bilangan pasukan mengurangkan risiko penyertaan kelab yang tidak bersedia dari segi kewangan dan ini selari dengan pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) yang memberi fokus kepada pengurusan kewangan berhemah, pembayaran gaji yang konsisten dan kelangsungan operasi kelab.

“Selain itu, ia dilihat dapat mengurangkan bebanan kos operasi dan pengurusan kelab susulan pengurangan perlawanan serta penjadualan perlawanan yang lebih tersusun,” kata MFL.

Menurut badan pengelola liga itu lagi, langkah tersebut sejajar dengan usaha membentuk Liga Malaysia yang lebih berkualiti, mampan dan berdaya saing demi memberi nilai terbaik kepada penyokong, penaja, penyiar dan semua pihak berkepentingan.

Sementara itu, saingan Liga Malaysia 2026-2027 akan bermula dengan aksi Sumbangsih yang menemukan juara Liga Super, JDT dan naib juara musim lalu, Kuching City FC dalam perebutan Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos depan.

Perlawanan tersebut turut dikira sebagai aksi pertama Liga Super musim baharu yang dijadual berakhir pada 23 Mei 2027.

Bagi saingan Piala FA, pertandingan akan berlangsung bermula 1 September 2026 hingga 16 Januari 2027, manakala kempen Piala Malaysia akan membuka tirai pada 22 Januari 2027 sebelum melabuhkan tirainya menerusi perlawanan akhir pada 30 Mei 2027.

Piala Cabaran MFL pula dijadual bermula pada 10 Februari 2027 dengan aksi final dua pusingan berlangsung pada 11 dan 18 April 2027.

“Sebarang perubahan dan pindaan Kalendar dan Jadual Pertandingan Liga Malaysia musim 2026-2027 adalah tertakluk kepada MFL,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN