KUALA LUMPUR: Impian skuad bola sepak wanita kebangsaan untuk layak ke separuh akhir Piala AFF Wanita 2026 belum tertutup, meskipun sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Laos dalam aksi sulung Kumpulan A, kelmarin.
Pengendali skuad Malayan Tigress, Joel Cornelli berkata, peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir masih terbuka luas memandangkan nasib pasukan kini berada di tangan sendiri menjelang aksi terakhir menentang Singapura, Khamis ini.
Menurut Cornelli, kemenangan ke atas Singapura akan memastikan skuad negara melangkah ke kelompok empat terbaik tanpa perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain.
“Kami masih mempunyai peluang kerana tidak bergantung kepada keputusan perlawanan lain. Jika menewaskan Singapura, kami akan layak.
“Saya yakin dengan lebih banyak latihan, organisasi permainan lebih baik serta memperbaiki kesilapan dilakukan, kami mampu beraksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas mengenai keputusan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras yang berakhir dengan perkongsian satu mata, Cornelli tetap memuji semangat juang dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.
Jelasnya, Malayan Tigress memulakan aksi dengan pendekatan agresif menerusi tekanan tinggi bagi memburu jaringan awal, namun beberapa peluang yang dicipta gagal disudahkan dengan jaringan.
Beliau turut mengakui faktor fizikal sedikit sebanyak memberi kesan apabila intensiti permainan menurun, sekali gus membolehkan Laos memanfaatkan situasi tersebut.
Bagaimanapun, Cornelli menjelaskan perubahan taktikal pada babak kedua, termasuk kemasukan dua pemain baharu, berjaya menghidupkan semula jentera serangan negara dengan jaringan penyamaan oleh Hadfina Firdaus bagi memadam ledakan Kemmy Phatdala.
“Kami tidak pernah berputus asa. Pasukan terus berjuang dan cuba menjaringkan gol sepanjang perlawanan. Itu perkara penting dan penyokong juga dapat melihat usaha pemain,” ujarnya.
Kini tumpuan utama Malayan Tigress terarah kepada pertemuan wajib menang menentang Singapura, dengan kemenangan bakal membuka laluan buat skuad negara meneruskan cabaran dalam saingan Piala Wanita AFF 2026. – UTUSAN










