PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan, Joel Cornelli memberi bayangan bakal melakukan rombakan dalam kesebelasan utama Malayan Tigress menjelang aksi penentuan menentang Singapura dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AFF Wanita 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.
Pertembungan itu dianggap aksi hidup mati buat skuad negara yang masih berpeluang mencipta sejarah mara ke separuh akhir buat kali pertama dalam kejohanan berkenaan selepas mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1 ketika menentang Laos, Jumaat lalu.
Kemenangan ke atas Singapura akan memastikan Malaysia melangkah ke kelompok empat terbaik tanpa perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain, sekali gus merealisasikan sasaran yang diletakkan sebelum kejohanan bermula.
Menyedari kepentingan perlawanan tersebut, Cornelli bersedia mempertimbangkan beberapa perubahan dari aspek taktikal dan pemilihan pemain bagi memastikan pasukannya tampil lebih segar serta sukar dibaca lawan.
“Kami telah berlatih dan melakukan beberapa per tukaran. Kami mungkin akan mengubah taktikal dan barisan pemain untuk menghadirkan elemen kejutan dalam perlawanan akan datang,” katanya.
Tempoh persiapan selama lima hari selepas aksi menentang Laos telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkemaskan organisasi permainan selain membetulkan beberapa kelemahan yang dikenal pasti dalam perlawanan terdahulu.
Menurut Cornelli, para pemain menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang sesi latihan dan memahami tanggungjawab besar yang menanti mereka apabila turun menentang Singapura.
“Kami perlu menang, kami tidak mahu bergantung kepada keputusan seri jadi tiga mata menjadi sasaran pasukan,” ujarnya.
Walaupun Malaysia dilihat memiliki rekod yang lebih baik berbanding Singapura, Cornelli enggan memandang mudah kemampuan lawan kerana menyedari sebarang kesilapan boleh mengundang padah dalam perlawanan yang menentukan nasib kedua-dua pasukan itu. – UTUSAN










