TIGA tahun berehat akibat penyakit asma tidak mematahkan semangat Nurdiana Syafiqah Rostam mengejar impian bergelar penjaga gol skuad bola sepak wanita negara.
Menyorot kisah gadis berusia 18 tahun itu yang sudah menapak kukuh dalam bola sepak, dia mula menunjukkan minat terhadap sukan itu seawal usianya lima tahun.
Ketika mula aktif, Nurdiana Syafiqah diuji dengan masalah asma yang teruk sehingga terpaksa berehat selama kira-kira tiga tahun bermula usia lapan tahun.
Namun, semangat anak ketiga daripada lima beradik ini untuk kembali ke padang tidak pernah pudar, malah ketika melangkah ke tingkatan satu, dia kembali aktif dan mula menunjukkan prestasi yang mencuri perhatian.
Bakatnya mendapat pengiktirafan apabila diterima masuk ke Sekolah Sukan Selangor di tingkatan tiga. Di sana, dia menjalani latihan intensif selama setahun sebelum melanjutkan ke Sekolah Sukan Malaysia di tingkatan empat.
Sebagai penjaga gol wanita, Nurdiana antara dua pemain yang menggalas posisi tersebut di peringkat sekolah. Tugas itu menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi tetapi dia membuktikan kemampuannya dengan cemerlang.
Ketika di tingkatan lima, Nurdiana menyertai perlawanan persahabatan empat penjuru di Thailand selaku wakil negara dalam kejohanan yang menghimpunkan pasukan dari beberapa negara Asia Tenggara.
Menariknya, Nurdiana juga pernah menyertai pasukan lelaki dalam Piala KL ketika di tingkatan satu. Keberaniannya bersaing dalam persekitaran yang lebih mencabar membuktikan keyakinan dan keupayaannya.
Dia turut menyertai kejohanan U17 Girls Super Cup yang berlangsung di Anfield Sport Park, Shah Alam pada 11 Februari lalu. Walaupun pasukannya gagal mara, Nurdiana dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik, pengiktirafan yang mengukuhkan reputasinya.
Menurut Nurdiana, kekurangan liga wanita di Malaysia menjadi antara cabaran utama dalam pembangunan bola sepak wanita.
“Tanpa platform pertandingan yang konsisten, ramai pemain muda tidak berpeluang menyerlahkan potensi mereka,” katanya.
Dia berpendapat penubuhan liga wanita yang lebih menyeluruh dan berstruktur mampu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti serta meningkatkan daya saing bola sepak wanita negara.
Sebagai penjaga gol, dia mengakui bahawa posisi tersebut memerlukan fokus tinggi, keberanian dan ketangkasan. Latihan berterusan dan disiplin menjadi kunci utama dalam mengekalkan prestasi.
Nurdiana yang merupakan penjaga gol utama skuad bawah 20 tahun negara, Malayan Tigress menyimpan cita-cita besar untuk menyarung jersi skuad bola sepak wanita kebangsaan sebagai penjaga gol utama.
“Kalau kita ada lebih banyak peluang dan pendedahan, saya yakin bola sepak wanita Malaysia boleh pergi jauh,” katanya.
Di sebalik kejayaan Nurdiana, terselit kisah pengorbanan dan sokongan tanpa syarat daripada ibu dan bapa remaja berkenaan.
Ibunya, Norrulhuda Md. Daud berkata, dia dan suami, Rostam Hassan tidak pernah menghalang anaknya mengejar cita-cita dan impiannya.
“Kami sekeluarga sentiasa menyokong impian Nurdiana. Bola sepak bukan sekadar minat, ia adalah sebahagian daripada hidupnya sejak kecil.
“Saya percaya disiplin dan semangatnya mampu membawanya jauh,” ujar Norrulhuda yang aktif dalam bidang bola sepak dan pernah menjadi pengurus pasukan Shahzan Junior. – UTUSAN










