PUTRAJAYA: Laporan misteri kemalangan udara pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens bersama empat menteri Sabah dan enam yang lain akan diumumkan kerajaan minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tragedi ‘Double Six’ yang mengakibatkan kehilangan nyawa pemimpin utama Sabah itu merupakan tuntutan selama 47 tahun rakyat negeri berkenaan untuk mengetahui apakah hasil daripada pasukan penyiasat kemalangan tersebut.
Beliau berkata, selama ini kerajaan tidak memutuskan untuk menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf (dinyahklasifikasi) sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).
“Pada hari ini (semalam), jemaah menteri mengambil kira pandangan dikemukakan rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan tuntutan dibuat keluarga dan waris yang mahu maklumat terperinci selari dengan dasar keterbukaan yang diamalkan Kerajaan Perpaduan.
“Oleh itu kita memutuskan laporan akhir siasatan kemalangan itu akan diturun taraf atau dinyahklasifikasi, iaitu semua maklumat akan diperkenalkan dan dihebahkan melalui kenyataan rasmi kerajaan dan Kementerian Pengangkutan pada minggu depan.
“Kenyataan awal boleh diedarkan pada sehari dua ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di bangunan Perdana Putra, di sini semalam.
‘Double Six’ adalah nahas pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens bersama 10 yang lain.
Fuad menaiki pesawat itu dari Labuan ke Kota Kinabalu untuk menghadiri jamuan rasmi dengan Menteri Kewangan Persekutuan ketika itu dan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah di Istana Negeri.
Bagaimanapun, pesawat itu terhempas di perairan Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
Tragedi itu turut mengorbankan Menteri Kewangan negeri, Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Kerja Raya dan Komunikasi negeri, Datuk Chong Tien Vun; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Darius Binion serta Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Wahid Peter Andu.
Turut terbunuh, Dr. Syed Hussien Wafa (Pengarah Unit Perancangan Ekonomi), Ishak Atan (Setiausaha Sulit Tengku Razaleigh Hamzah), Kapten Gandhi Nathan (juruterbang), Koperal Said Mohamed (Pengawal Tun Fuad) dan Johari Stephens (anak sulung Tun Fuad).
Fuad ketika itu menjadi Ketua Menteri Sabah buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum pada 1976 apabila Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) diterajui beliau berjaya membentuk kerajaan menggantikan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Beliau yang juga bekas Presiden Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazan (UPKO) maut dalam tragedi itu selepas 44 hari pelantikannya.
Sehingga hari ini sebahagian besar penduduk Sabah masih meragui serta tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku dalam tragedi nahas pesawat itu dan berharap kes ini dapat dirungkai sama ada punca kemalangan itu disebabkan terlebih muatan atau faktor lain. – UTUSAN










