KUALA LUMPUR – Pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh terbuka menerima tawaran daripada mana-mana produksi tempatan yang selari dengan komitmennya untuk berjaya.
Michelle, 61, percaya produksi tempatan juga mempunyai bakat serta visi yang mampu melonjakkan karya terbitan anak jati Malaysia sekiranya diberi peluang dan ruang untuk membuktikannya.
“Saya tahu ramai pembikin filem hebat di negara ini. Kita harus meraih peluang dan platform untuk menunjukkan bakat kita semua.
“Saya memang nak bekerja dengan pengarah seni atau studio di negara ini. Mereka yang mampu buat perubahan dan juga, mereka yang boleh bergerak ke hadapan.
“Kita perlu berani dan bersemangat. Percaya kita semua boleh lakukannya. Banyak masa kita lebih suka duduk dalam zon selesa, buat filem untuk pasaran kita sahaja,” ujarnya.
Seniwati negara itu berkata demikian ketika ditemui media pada sidang akhbar di ibu negara, baru-baru ini.
Aktres prolifik itu merupakan wanita Asia pertama yang dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik sekali gus melakar sejarah baharu dalam industri perfileman antarabangsa.
Bintang yang dilahirkan di Ipoh, Perak itu juga merupakan wanita Asia pertama yang dicalonkan bagi kategori tersebut sekali gus melakar sejarah baharu dalam dunia perfileman global.