BAGAN DATUK: Penduduk daerah ini tidak sabar untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid baharu, Masjid Tuminah Hamidi di sini.
Mereka gembira kerana rumah ibadah itu sudah boleh digunakan dan percaya masjid yang juga dikenali ‘masjid terapung’ itu akan menjadi mercu tanda baharu di daerah ini.
Seorang penduduk, Mohd. Faiz Ahmad Safie berkata, dia akan menunaikan solat Aidilfitri di masjid itu yang reka bentuknya menakjubkan selain lengkap kemudahan.
Katanya, masjid itu menjadi kebanggaan penduduk dan setiap hari mereka bangga menyaksikan keindahan masjid itu.
“Sudah tentu saya dan penduduk tidak sabar untuk sembahyang raya di masjid baharu ini.
“Masjid ini begitu unik, kedudukannya di muara sungai, seakan-akan terapung, lengkap dengan semua kemudahan dan serba moden.
“Masjid ini pastinya menjadi kebanggaan penduduk dan saya percaya ia akan menjadi tarikan pelancong ke daerah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Faihan pula Mohd. Zubir berkata, dia dan ahli keluarga mengambil kesempatan berbuka di pekarangan masjid baharu itu baru-baru ini.
Dia kagum dengan seni bina masjid dan tidak sabar untuk menunaikan solat hari raya di masjid itu tahun ini.
“Saya bersyukur kerana masjid ini akhirnya sudah boleh digunakan oleh penduduk untuk menunaikan solat dan aktiviti keagamaan yang lain,” katanya.
Masjid Tuminah Hamidi yang boleh menampung 5,000 jemaah pada satu-satu masa, mula dibina pada 2017 dengan kos kira-kira RM53 juta menggunakan dana Yayasan Al-Falah, yayasan milik keluarga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid menamakannya sebagai Masjid Tuminah Hamidi sempena nama ibu bapanya iaitu Allahyarham Raden Hamidi Abdul Fatah dan Allahyarham Tuminah Abdul Jalil.-utusan










