LOS ANGELES: Luis de la Fuente percaya pasukan Sepanyol kendaliannya mempunyai segala yang diperlukan untuk menyingkirkan pasukan pilihan Kejohanan Piala Dunia 2026, Perancis.
Bercakap kepada media selepas kemenangan 2-1 Sepanyol ke atas Belgium dalam suku akhir, De la Fuente menyifatkan kemenangan itu hasil usaha seluruh pasukan dengan jaringan Fabian Ruiz dan Mikel Merino yang disifatkannya menakjubkan.
“Kedua-dua pasukan dianggap sebagai calon untuk mara ke final. Perancis mempunyai potensi yang luar biasa, begitu juga kami. Kami mempunyai harapan yang sangat tinggi untuk perlawanan seterusnya. Kami sedar akan kehebatan lawan yang bakal kami hadapi tetapi kami juga sedar bahawa satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan mereka dalam dua aksi separuh akhir terakhir yang mereka harungi ialah kami,” katanya.
Dalam aksi semalam, barisan pemain Belgium berjuang dengan penuh semangat, namun penyingkiran mereka daripada Piala Dunia menandakan berakhirnya era “generasi emas”
Jaringan kemenangan Mikel Merino pada minit ke-88 memastikan Sepanyol terus menghidupkan impian untuk menjulang kejuaraan dunia, sekali gus menempah pertemuan dengan antara pasukan pilihan kejohanan itu.
Menurut De la Fuente, skuad kendaliannya memiliki keyakinan tinggi untuk menewaskan mana-mana lawan termasuk Perancis yang dibarisi penyerang sensasi, Kylian Mbappe.
“Tiada keterlaluan jika perlawanan ini dianggap sebagai final sebelum final. Kami adalah antara pasukan yang layak berada di pentas ini. Kami sedar kekuatan Perancis, namun kami juga tahu bahawa kami pernah menewaskan mereka dalam dua aksi separuh akhir sebelum ini,” katanya.
Sepanyol sebelum ini menewaskan Perancis pada separuh akhir Euro 2024 sebelum muncul juara Eropah dan mereka juga pernah mengatasi lawan yang sama pada saingan separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA. – UTUSAN










