Puad persoal sumbangan Pas terhadap kemenangan BN

Puad persoal sumbangan Pas terhadap kemenangan BN

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas didakwa membayar harga mahal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 apabila mengamalkan politik pelik termasuk sanggup ‘membunuh’ rakan komponen sendiri.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan Pas dalam PRN Johor membuktikan parti itu tidak boleh menjadi rakan kongsi politik yang meyakinkan.

Menurutnya, walaupun parti itu sebelum ini dilihat memberi ruang kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, usaha itu tidak mampu melumpuhkan Bersatu, tetapi kali ini memang ranap terus. 

“Pas membayar harga yang mahal di PRN Johor 2026. Mereka mengamalkan politik pelik. Sanggup bunuh rakan komponen sendiri.

“Kini Pas lengkap sebagai parti yang tidak boleh jadi rakan kongsi. Pas adalah ‘the loser’. Maka tidak wajar Pas dapat ADUN lantikan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Puad, kemenangan terbesar Pas dalam PRN Johor bukanlah dari segi kerusi, sebaliknya kejayaan menamatkan pengaruh Bersatu secara menyeluruh.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan sumbangan Pas terhadap kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor.

Katanya, sekiranya benar penyokong Pas mengundi BN, jumlah itu disifatkan terlalu kecil berdasarkan undi diperoleh parti tersebut di beberapa kerusi yang ditandingi.

“Apakah sumbangan Pas pada kemenangan besar BN di PRN Johor 2026?

“Kalau benar penyokong Pas mengundi BN, rasanya ia terlalu kecil kerana undi yang Pas dapat di Tiram, Tenang, Kahang, Jementah dan Simpang Jeram terlalu kecil,” katanya.

Katanya, kemenangan besar BN lebih didorong oleh gelombang biru yang kuat selain sokongan pengundi Cina yang kembali kepada gabungan itu.

“Maka kemenangan BN sudah tentu kerana gelombang biru yang terlalu kuat di samping pengundi Cina yang kembali menyokong BN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN