PUTRAJAYA: Malaysia menyertai Mesyuarat Terbuka Luar Biasa Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi bertindak atas kebiadaban Israel di Al-Aqsa.
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, Wakil Tetap Malaysia ke OIC yang juga Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah telah mewakili negara.
Mesyuarat di ibu pejabat OIC di Jeddah semalam diadakan khusus membincangkan kes pencerobohan berterusan rejim Zionis atas permintaan daripada Palestin dan Jordan.
“Sesi khas itu turut ada penyelarasan dan rundingan bersama kerajaan Arab Saudi selaku Pengerusi Sidang Kemuncak OIC dan Jawatankuasa Eksekutif OIC,” kata kenyataan itu.
Pasukan keselamatan rejim Israel dilaporkan bertindak angkuh menceroboh sebelum menyerang dan menahan ganas lebih 400 jemaah di Masjid Al-Aqsa pada pagi 5 April lalu.
Insiden tidak berperikemanusiaan terhadap jemaah yang tekun beribadah bersempena bulan Ramadan oleh tentera Zionis itu mengakibatkan sejumlah 12 warga Palestin cedera.
Kerajaan Malaysia dan negara-negara Islam lain serta OIC mengutuk keras tindakan biadab itu malah menggesa komuniti antarabangsa untuk lebih bertegas ke atas Israel.
Mengulas lanjut, Wisma Putra menambah, pada mesyuarat ini, Wan Zaidi menyampaikan pendirian Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengecam kejadian itu.
“Malaysia menyeru kesemua 56 negara anggota OIC agar bertegas dengan masyarakat global dalam mendesak Israel bagi menghentikan sebarang tindakan provokatif,” katanya.
Tindakan rejim itu ujarnya, jika tidak dihentikan boleh memburukkan lagi ketegangan dan Malaysia menggesa OIC supaya turut bertindak konkrit serta berkesan dalam isu Palestin.
Pada masa sama, Malaysia tetap bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengulangi pendirian agar status Al-Quds Al-Sharif terus kekal sebagai tapak suci umat Islam sejagat.
Pendirian tersebut jelas Kementerian Luar, selaras hak Palestin mempertahankan negara itu bebas merdeka berdasarkan peta pra-1967 dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota. –UTUSAN










