Aminuddin kekal MB

Aminuddin kekal MB

ANWAR Ibrahim bersama pelajar yang hadir pada Program Temu Anwar dan Peluncuran Bangunan Baharu Universiti UCSI di Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun kekal menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Sem­bilan.

Perkara itu dititahkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ketika menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.

Anwar berkata, Tuanku Muh­­riz turut bertitah agar pentad­biran negeri diterus se­­mentara proses berkaitan di­­selesai me­ngikut lunas undang-undang supaya kepen­tingan rakyat terpelihara dan kedaulatan undang-undang dapat dijunjung.

“Saya menyokong titah duli tuanku agar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, memelihara kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Saya yakin berdasarkan pe­­ngalaman dan khidmat cemerlang, beliau akan terus men­jalankan tugas dengan sempurna,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, persoalan melibatkan institusi Undang Yang Empat juga sedang dita­ngani melalui saluran serta proses yang sah serta kebijaksanaan undang terlibat.

“Kerajaan Persekutuan akan terus memberi kerjasama penuh untuk memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Dalam apa jua keadaan, keluhuran institusi raja dan undang-undang ne­geri mesti terus dipelihara serta dipertahankan.

“Saya juga menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban terutama dalam membicarakan ehwal institusi raja dan undang-undang negeri,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas Majlis Temu Anwar dan Peluncuran Bangunan Baharu Universiti UCSI di Kuala Lumpur semalam, Perdana Menteri berkata, tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

“Semalam, saya menghadap tuanku dan berterima kasih atas pertimbangan baginda supaya menteri besar meneruskan tugas demi kepentingan rakyat.

“Setakat ini, tidak timbul isu pembubaran. Apa yang dibincangkan adalah pandangan serta nasihat tuanku supaya pentadbiran diteruskan sementara proses lain berjalan.

“Dalam hal ini, Menteri Besar menerima nasihat tuanku dan akan menjalankan tugas sehingga isu-isu berkait dengan Perlembagaan Negeri itu diluruskan,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar ber­kata, kemelut yang berlaku ketika ini melibatkan tafsiran undang-undang negeri yang turut berkait dengan peranan pihak dalam sistem pentadbiran Negeri Sembilan.

“Masalah ini bukan berpunca daripada Perlembagaan Negeri atau Menteri Besar. Ia timbul kerana ada penafsiran undang-undang negeri yang juga melibatkan Undang dan Yang di-Pertuan Besar. Jadi tentunya itu bukan di bawah bidang kuasa kita,” katanya.

Beliau berkata, sebarang ke­putusan lanjut berhubung kedudukan Menteri Besar tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan sistem perundangan negeri yang perlu dihormati.

“Pelantikan Menteri Besar itu bersama empat Undang. Kalau kita ambil keputusan pelantikan itu dengan empat Undang, pengunduran pun begitu juga.

“Jadi ia tidak semudah yang dibayangkan. Sebab itu bagi saya, jaga keharmonian negara, bukan masa untuk berebut dan mening­katkan ketegangan,” katanya.

Kelmarin, seramai 14 orang ADUN dari Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin selaku menteri besar sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Kemudian lima orang ADUN pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) serentak menyatakan sokongan kepada BN sekali gus menjadikan Aminuddin hilang majoriti dalam DUN.

DUN Negeri Sembilan mempunyai sebanyak 36 buah kerusi secara keseluruhan dengan Pakatan Harapan (PH) memiliki 17 kerusi diikuti BN dengan 14 kerusi manakala lima kerusi lagi milik PN selepas berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di ne­geri itu pada Ogos 2023.

Sebanyak 19 kerusi DUN diperlukan secara keseluruhan bagi membentuk kerajaan negeri secara majoriti mudah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN