RM40b kos ganti paip lama

RM40b kos ganti paip lama

LAPORAN Utusan Malaysia pada 27 April lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memerlukan lebih RM40 bilion bagi menggantikan sistem perpaipan membabitkan kira-kira 40,000 kilometer (km) paip yang dikategori lama dan usang di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Hal itu perlu diselesaikan segera bagi mengurangkan ke­rugian kepada kerajaan akibat kadar air tidak berhasil (NRW) disebabkan sistem perpaipan bawah tanah yang telah lama dan semakin uzur.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piapakaran berkata, berdasarkan data tahun 2024, 40,000 km paip usang itu terbahagi kepada negeri-negeri mengikut kuantiti berbeza.

Katanya, daripada jumlah paip di setiap negeri, Kelantan mencatatkan jumlah paip usang tertinggi iaitu 54.4 peratus perlu diperbaharui, Kedah (44.7 peratus), Negeri Sembilan (42.9 peratus) dan Perlis (37 peratus).

Manakala, katanya, negeri lain mempunyai peratus lebih rendah daripada 30 peratus disebabkan penggantian paip usang telah lama dimulakan.

“Lebih kurang 40,000 km paip usang perlu diganti. Ini tidak termasuk paip-paip rosak akibat lori-lori yang menggunakan jalan-jalan kecil dengan muatan tinggi.

“Dianggarkan kos untuk menggantikan paip bagi setiap kilometer mencecah RM1 juta namun kos itu akan menjadi lebih tinggi di kawasan-kawasan berkepadatan tinggi seperti bandar raya besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, muka depan akhbar ini melaporkan kerajaan dianggarkan menanggung kerugian melebihi RM4 bilion daripada 33.4 peratus kadar NRW yang tidak dapat menjadi pendapatan negara di Semenanjung dan Labuan.

Jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding kerugian ditanggung kerajaan pada tahun 2008 iaitu sekitar RM1.4 bilion daripada kerugian air tera­wat yang menjadi NRW.

Faktor utama penyebab berlakukan kadar air tidak berhasil adalah disebabkan kebocoran dalam sistem agihan bekalan air terawat.

Mengulas lanjut, Piapakaran berkata, disebabkan kos menggantikan sistem perpaipan di bandar raya terlalu tinggi, pihaknya mencadangkan supaya kerajaan menggunakan pendekatan zon kritikal, subkritikal dan tidak kritikal dalam proses memperbaharuinya paip tersebut.

“Melalui pendekatan ini, pelaburan di zon kritikal akan membawa pulangan yang cepat. Penjimatan ini boleh membantu zon subkritikal dan tidak kritikal.

“Paling penting adalah perlu diperkukuhkan mekanisme denda kepada operator air yang gagal mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap tempoh kawal selia jika peruntukan telah disalurkan,” katanya.

Tambahnya lagi, kebanyakan negeri telah pun menaikkan tarif air minimum sebanyak dua kali jadi alasan tidak cukup peruntukkan tidak sepatutnya wujud.

“Kami juga ingin tegur Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana masih gagal melaksanakan penanda aras setiap komponen kos perawatan dan bekalan air.

“Kegagalan ini akan menyalur­kan kos kepada pengguna dan gagal mengenakan tindakan ke atas operator air yang tidak cekap selain memberi impak tinggi kepada kesinambungan industri perkhidmatan air negara,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×