Malaysia lihat pelaburan China satu kerjasama strategik, bukan 'perangkap hutang' - Utusan Malaysia

Malaysia lihat pelaburan China satu kerjasama strategik, bukan ‘perangkap hutang’

ANTHONY Loke (tiga, kiri) diikuti Wan Rosdy Wan Ismail secara simboliknya merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-10 penubuhan MCKIP di Kuantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pembiayaan projek berskala besar di Pahang seperti Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Terminal Laut Dalam Pelabuhan Kuantan oleh pelaburan China perlu dilihat sebagai kerjasama dua hala yang strategik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, melalui pelaburan China itu kerajaan percaya ia tidak akan mengakibatkan negara ini sewenang-wenangnya termasuk dalam ‘perangkap hutang’ negara kuasa besar.

Menurutnya, perkara tersebut merupakan keputusan dan pilihan terbaik yang telah dibuat oleh kerajaan.

“Ia adalah pilihan kerajaan dan bila kita tandatangan perjanjian, maka itu merupakan komitmen dan kita kena ambil tanggungjawab. Jadi sudah tentu apabila kita mahu laksanakan satu-satu projek, pasti ada kelebihannya, tak bolehlah dilihat seolah-olah satu ‘trap’ untuk kita berhutang dengan mana-mana pihak atau negara China,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun MCKIP ke-10 di sini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Jawatankuasa Guangxi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Guangxi, Republik Rakyat China, Liu Ning.

Terdahulu, terdapat kenyataan media Barat seolah-olah memberi amaran ‘perangkap hutang’ kepada negara membangun melalui Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) yang dipromosikan China sejak 2008.

Susulan itu, sebanyak 22 negara membangun gagal membayar komitmen hutang dengan China dengan anggaran AS$240 bilion untuk kerja pembangunan infrastruktur di negara terbabit.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, susulan daripada itu kerajaan perlu memaksimumkan keuntungan yang diperoleh daripada projek-projek dilaksanakan pihak China.

“Kita memang ambil pinjaman untuk (melaksanakan) projek, jadi kita kena maksimumkan (keuntungan) melalui projek yang dilaksanakan itu. Sebagai contoh projek ECRL, kita sekarang sedang memaksimumkan nilai projek ini untuk membangunkan negeri kita,” katanya.

Projek ECRL membabitkan kos RM55 bilion dan pembinaan dilakukan syarikat China Communications Construction Company (CCCC), sebuah syarikat milik kerajaan China dan pembinaan sepanjang 688 kilometer itu dijangka siap beroperasi pada awal 2027.

Sementara itu, Anthony Loke turut mengesahkan kerajaan negeri sudah menghantar cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Pahang.

Katanya, lapangan terbang juga merupakan antara perkara terpenting perlu ada dan kerajaan negeri perlu ada banyak perincian untuk menempatkannya.

“Kita akan ada perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri Pahang, di peringkat Kementerian Pengangkutan kita akan ‘facilitate’ jadi hasrat kerajaan Pahang dihormati dan kita akan cuba yang terbaik. Infrastruktur pengangkutan akan membina ekosistem pengangkutan yang penting, bila ada pelabuhan, lapangan terbang dan rel (ECRL).

“Tidak semua negeri ada kelebihan mempunyai kesemua sistem pengangkutan seperti itu dan Pahang merupakan negeri bertuah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya