KUALA LUMPUR: Lereng bukit dan cerun di sekitar Lembah Klang berpotensi berdepan kejadian tanah runtuh terutama di kawasan kediaman atau bangunan tinggi ekoran wujudnya aktiviti manusia yang menyumbang kepada bencana.
Antaranya akibat paip air pecah atau longkang tersumbat yang menyebabkan ketepuan air dalam tanah tinggi sehingga mengakibatkan kejadian tanah runtuh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah UKM, Dr.- Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, kawasan tanah tinggi agak sukar dijangka terutama di kawasan yang telah dilitupi bahan tidak telap seperti jalan raya atau bangunan kekal, atau hutan yang menyebabkan kegagalan tanah sukar dicerap.
“Justeru, bagi kawasan-kawasan sebegini, yang jelas sekali pada lereng-lereng bukit, atau terletak di atas teren bermorfologi perbukitan rendah atau tinggi, faktor pemantauan cerun perlu dipergiat melebihi kawasan lain.
“Terutama jika ia melibatkan bangunan kediaman yang didiami manusia. Pemantauan dilihat perlu kerana wujudnya unsur anthropogenik yang berpotensi menyebabkan cerun gagal berbanding faktor semulajadi,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Kelmarin, seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita yang juga petugas pentadbiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) berdepan dengan kejadian tanah runtuh di pintu depan akademi milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hingga meruntuhkan sebuah pondok kawalan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati kejadian semalam berkemungkinan berlaku akibat dua faktor iaitu takungan air dan paip bawah tanah yang pecah malah masih terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian tanah runtuh di kawasan terbabit.
Beliau berkata, satu perbincangan sudah dilakukan pagi semalam bersama agensi-agensi terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengetahui sama ada kawasan terbabit selamat diduduki atau tidak.
Selain itu, jelas Dr. Nur Shahidah, langkah pemantauan yang diimplementasi perlu mempunyai koordinasi atau gerak kerja yang fokus terutama ketika musim hujan lebat yang mana cerun pada dasarnya berkeadaan lemah dan berpotensi runtuh jika faktor kegagalan kritikal berlaku.
Malah, pada masa yang sama, Dr. Nor Shahidah, tidak menolak kemungkinan pemantauan dan penyelenggaraan di kawasan cerun di sekitar Lembah Klang perlu dipergiat sebagai satu langkah pencegahan segera.
“Sebaiknya cerun-cerun yang ada di setiap kawasan di Lembah Klang perlu diperiksa, diselenggara dan diperkukuh untuk memastikan sebarang cirian kegagalan yang wujud dikenal pasti lebih awal sebelum keadaan lebih parah berlaku.
“Ini kerana pelbagai faktor boleh menyebabkan kegagalan cerun. Antaranya ketepuan air tinggi dalam tanah, kuantiti air yang tinggi seperti banjir atau keadaan luar jangka seperti paip pecah atau longkang tersumbat yang menyebabkan berlakunya takungan air di dalam tanah sebelum berlaku pergerakan tanah.
“Keadaan ini juga boleh berlaku akibat kegagalan reka bentuk kejuruteraan ataupun faktor geologi lain seperti kejadian gempa bumi.
“Bagaimanapun,kita masih perlu berjaga-jaga dengan keadaan cuaca hujan lebat yang berpotensi meningkatkan aliran air masuk ke dalam tanah dan menyebabkan lebih banyak tanah tepu air terhakis,” katanya. – UTUSAN










