Lebih 12 tan lebih makanan bazar Ramadan diselamatkan

Lebih 12 tan lebihan makanan bazar Ramadan diselamatkan

PROJEK MYSaveFood Ramadan berjaya menyelamatkan 12,148 kilogram atau lebih 12 tan metrik lebihan makanan di bazar Ramadan setakat 5 April lalu sekali gus memberi manfaat kepada 10,124 golongan yang memerlukan di negara ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sebanyak 12,148 kilogram atau lebih 12 tan metrik lebihan makanan di bazar Ramadan berjaya dikumpulkan setakat 5 April lalu sekali gus mampu memberi manfaat kepada 10,124 golongan yang memerlukan di negara ini.

Data tersebut adalah hasil kutipan sehingga 14 Ramadan lalu menerusi Projek MYSaveFood Ramadan yang dikelolakan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia membabitkan 58 bazar Ramadan seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Projek yang disokong penuh oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu turut mendapat kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta pelbagai lagi rakan strategik lain selain melibatkan 1,182 sukarelawan.

Menerusi projek bagi mengelak pembaziran makanan itu, peniaga turut memberi kerjasama yang baik dengan menyalurkan lebihan makanan untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Projek itu dilaksanakan sejak 2016 namun tahun ini dilaksanakan dengan skala lebih besar.

Sebanyak 41,488 kilogram atau 41 tan metrik makanan dan minuman berjaya diselamatkan serta disalurkan kepada golongan memerlukan dari 2017 hingga 2022.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, Muhammad Nasim A. Ralim berkata, makanan yang dikumpul setakat 14 Ramadan lalu membabitkan nasi berlauk, 1,314 kilogram; kuih muih (1,702 kilogram); makanan bergoreng (789.11 kilogram); makanan berkuah (402.13 kilogram); makanan bergoreng dan bakar (222.86 kilogram); makanan barat (72.45 kilogram) dan minuman, 6,830 kilogram.

Katanya, jumlah berkenaan bersamaan hidangan harian per kepala yang memanfaatkan 1,558 orang atau secara keseluruhan sebanyak 10,124 orang.

“Kami juga memberi kesedaran kepada peniaga untuk merancang persediaan supaya tidak lebih dan membazir. Tujuan utama program bagi mengelak pembaziran,” katanya.

Tambah Muhammad Nasim, pihaknya akan menerima makanan daripada pihak peniaga dalam bentuk pembungkusan yang kemas dan bersih.

“Makanan lebihan itu dihantar oleh peniaga ke reruai sukarelawan sebelum menutup gerai masing-masing sebelum ia diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk rumah kebajikan dan ibadat sekitar bazar Ramadan terpilih,” katanya.

Katanya, objektif program adalah bagi membudayakan satu sistem pengurusan sisa makanan yang lebih efektif di bazar Ramadan yang mudah direplikasi dalam usaha mengurangkan pembaziran sisa makanan.

“Ia juga mengurangkan penghasilan gas metana yang memberi kesan kepada pemanasan global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×