Kuih 10 sen laris di Felda Lubuk Merbau

Kuih 10 sen laris di Felda Lubuk Merbau

ORANG ramai membeli aneka kuih-muih yang dijual pada harga 10 sen atau sekupang setiap sebiji sebagai juadah untuk berbuka puasa di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Ketika ramai peniaga terpaksa menaikkan harga jualan mereka disebabkan peningkatan kos bahan mentah, seorang peniaga kuih di Felda Lubuk Merbau di sini memilih untuk mengekalkan setiap kuih yang dijualnya pada harga 10 sen atau sekupang.

Roslina Saad, 54, berkata, ta­hun ini sudah lebih 20 tahun dia berniaga aneka kuih-muih pada harga tersebut dengan turut mengekalkan saiz dan kuali­ti seperti kebiasaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah menikmati makanan ringan itu pada harga yang amat murah.

Katanya, walaupun masih mampu meraih untung dengan harga hanya 10 sen setiap biji, dia berniat agar cara perniagaan yang dimulakannya di Pulau Pinang itu sebagai amal jariah kepada penduduk sekitar.

“Macam tahun ini, kos boleh dikatakan terlalu tinggi, tapi saya fikir kalau jual mahal atau naikkan harga nanti orang tak dapat pula nak beli. Jadi saya kekalkan juga untuk jual sebiji sekupang kepada pelanggan sejak 20 tahun lalu.

“Saya rasa dengan harga se­rendah itu, orang yang kurang berkemampuan pun dapat me­rasai aneka kuih-muih disediakan kami, contohnya kalau dia cuma ada RM1 sudah boleh dapat 10 biji kuih yang boleh juga dicampur-campur,” katanya ketika ditemui semalam.

Kata Roslina, setiap hari dia menyediakan sehingga 5,000 biji pilihan jenis kuih termasuk buah Melaka, karipap, onde-onde, lopeh, ketayap dan pelbagai lagi yang kadangkala habis terjual hanya dalam tempoh kurang dua jam.

“Setiap 15 jenis kuih yang dibuat sepenuhnya oleh saya dan lima pekerja ini, kami sediakan 500 biji ke 700 biji bergantung kepada permintaan pelanggan. Tetapi boleh dikatakan setiap hari kami mula berniaga pukul 3 petang, dua jam kemudian sudah boleh berkemas untuk pulang.

“Ramai yang tertanya-tanya bagaimana saya untung, sebenarnya apabila hasilkan kuih dalam kuantiti yang banyak insya-Allah kita masih mampu meraih untung dan menggaji pekerja sama seperti peniaga yang jual pada harga lain,” katanya.

Sementara itu, seorang pembeli, Mohd. Sobri Saad, 38, menyifatkan usaha Roslina yang terus menjual kuih pada harga 10 sen amat membantu golongan sepertinya yang berpendapatan tidak menentu.

“Saya penoreh getah, dengan harga getah kurang baik ketika ini dan hasil getah juga tidak memuaskan, jualan makanan pada harga sebegini amat membantu kami menikmati pelbagai jenis makanan.

“Boleh dikatakan selang dua hari saya akan berkunjung ke gerah kuih ini untuk beli macam-macam kuih, dengan harga ini dapat juga kadangkala beli lebih untuk keluarga mentua, saudara-mara dan jiran tetangga,” katanya.

Zalilah Ali, 65, yang pertama kali mengetahui kewujudan gerai Cucoq Sekupang diusahakan Roslina teruja apabila dapat membeli kuih-muih tersebut setelah melihat video wanita itu dan pekerjanya berniaga tular di media sosial beberapa hari lepas.

“Jadi saya tengok memang betul jual kuih sebiji sekupang. Dengan kos sara hidup sekarang ini kita amat terkesan untuk menyediakan juadah, tambahan pula lauk-pauk semakin mahal. Jadi, kuih ini dapat bantu kurangkan kos dan tambahkan lagi menu untuk berbuka puasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN