TAPAH: Sebelum ini, kehidupan pasangan suami isteri di Kampung Sungai Kurong Dalam di sini agak stabil kerana masing-masing mempunyai pekerjaan selain mendapat tempahan kuih muih dan perniagaan katering secara kecil-kecilan.
Namun, Nora Soid, 54, mula diuji apabila suaminya, Zainuddin Aziz, 60, yang menjadi tempat bergantung diserang penyakit saraf kronik sehingga menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong lebih setahun yang lalu.
Menurut Nora, pada mulanya dia agak terbeban kerana suaminya tidak boleh lagi bekerja menyebabkan pasangannya itu banyak menghabiskan masa di rumah selain perlu memenuhi keperluan susu khas, lampin dewasa dan tisu basah yang perlu dibeli setiap bulan.
“Sebelum ini, suami bekerja sebagai tukang kebun tetapi masalah kesihatan menyebabkan dia tidak mampu lagi bekerja. Saya pula berhenti berniaga makanan secara kecil-kecilan kerana perlu menguruskannya.
“Anak bongsu ada tetapi sedang belajar di Tingkatan Enam Sekolah Menengah Seri Kampar, jadi tidak mahu menyusahkan dia yang perlu menumpukan kepada pelajaran,” katanya.
Mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan, Nora bersyukur kerana menerima bantuan rumah oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada 2011 menerusi Program Bantuan Rumah (PBR).
“Saya juga menerima bantuan bulanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak sebanyak RM600 sebulan yang dapat mengurangkan beban semasa terutamanya membeli barangan keperluan suami.
“Selain itu, saya menerima bantuan kotak makanan dan beras daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk),” katanya.
Dua anaknya yang telah bekerja dengan kelulusan politeknik turut menghulurkan wang secara bulanan bagi membantu ibu bapanya.
“Anak perempuan saya yang sedang belajar di Tingkatan Enam juga menerima bantuan MAIPk berbentuk bayaran yuran dan biasiswa untuk membeli buku rujukan,” katanya.
Bantuan bulanan RM600 JKM Perak merujuk kepada Bantuan Warga Emas (BWE) berperanan membantu kelangsungan hidup warga emas yang kurang berkemampuan.
Perkembangan itu selaras dengan flagship kelima Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dan flagship keenam Membasmi Miskin Tegar 2025 cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan dan kondusif.-UTUSAN










