NARATHIWAT (THAILAND): Penangguhan dialog damai antara Kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) sehingga September ini menyebabkan kawalan keselamatan di wilayah bergolak di Selatan Thai diperketat selama tiga bulan, susulan kebimbangan ancaman keganasan kembali meningkat.
Sumber keselamatan berkata, semua agensi keselamatan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas rundingan damai yang dijadualkan berlangsung hujung bulan lalu dan awal bulan ini ditangguhkan.
Katanya, berdasarkan trend sebelum ini, kejadian keganasan lazimnya meningkat apabila proses dialog damai tidak berjalan seperti dirancang atau mengalami penangguhan.
“Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perdana Menteri, Wan Muhammad Noor Matha memaklumkan rundingan damai hanya diadakan pada September ini.
“Dalam tempoh tiga bulan sehingga rundingan itu berlangsung, dijangkakan berlaku peningkatan keganasan. Oleh itu, pasukan keselamatan diarahkan memperketat kawalan serta pemeriksaan di kawasan berisiko.
“Pada masa sama, Majlis Keselamatan Negara turut melanjutkan tempoh penguatkuasaan Dekri Darurat mengenai Pentadbiran Awam dalam Situasi Kecemasan B.E. 2548 selama tiga bulan lagi, bermula 20 Julai hingga 19 Oktober,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sumber itu berkata, tiada jaminan tiga wilayah berkenaan kekal selamat sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan akan datang.
“Sejak beberapa hari lalu, pihak berkuasa menahan beberapa individu yang dipercayai anggota pemisah dan terbabit dalam kegiatan keganasan. Ada kemungkinan kumpulan itu akan bertindak balas selepas rakan mereka ditahan.
“Kita menasihatkan orang ramai termasuk pelancong asing supaya meningkatkan tahap kewaspadaan ketika berada di 18 daerah di Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani yang masih tertakluk di bawah Dekri Darurat,” ujarnya.
Sumber berkata, daerah berkenaan ialah Perbandaran Narathiwat, Bacho, Ruesoh, Rangae, Si Sakhon, Chanae, Cho Airong, Sungai Padi, Tak Bai dan Sungai Golok di Wilayah Narathiwat; Mueang Pattani, Nong Chik, Khok Pho, Yarang dan Sai Buri di Wilayah Pattani; serta Mueang Yala, Bannang Sata dan Thanto di Wilayah Yala. – UTUSAN










