OPR 2.75 peratus menyokong inflasi, pertumbuhan ekonomi

OPR 2.75 peratus menyokong inflasi, pertumbuhan ekonomi

BANK Negara Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Inflasi terkawal, pertumbuhan ekonomi yang kekal sederhana dengan sokongan permintaan domestik dijangka mendorong Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada mesyuarat hari ini.

Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, pasaran buruh juga terus stabil, menjadikan tiada keperluan yang benar-benar mendesak untuk mengubah pendirian dasar monetari.

Katanya. trajektori inflasi, momentum pertumbuhan ekonomi domestik, kestabilan nilai ringgit serta perkembangan ekonomi global, khususnya hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat (AS) menjadi faktor utama kepada bank pusat dalam membuat keputusan dasar tersebut.

“Selain itu, BNM turut menilai prospek pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini bagi memastikan dasar monetari terus menyokong ekonomi tanpa mewujudkan risiko inflasi yang berlebihan.

“Cabaran utama BNM ketika ini adalah mengimbangi keperluan menyokong pertumbuhan ekonomi dengan memastikan kestabilan harga serta keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara terus terpelihara. 

“Oleh itu, pendekatan yang paling sesuai ialah mengekalkan OPR sambil terus mengamalkan dasar monetari yang berpandukan data dan bersedia melakukan pelarasan sekiranya prospek ekonomi berubah dengan ketara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kali terakhir bank pusat melaraskan OPR adalah pada Julai 2025 apabila kadar diturunkan kepada 2.75 peratus daripada tiga peratus sebagai langkah awal bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi cabaran luaran.

Siong Hook berkata, perubahan OPR boleh memberi kesan kepada pasaran saham melalui perubahan kos pembiayaan, perbelanjaan pengguna, keuntungan syarikat serta sentimen pelabur. 

Bagaimanapun, beliau berkata, impaknya berbeza mengikut sektor kerana setiap industri mempunyai tahap kepekaan yang berbeza terhadap perubahan kadar faedah.

“Bagi sektor perbankan, kenaikan OPR lazimnya meningkatkan margin keuntungan bank, manakala penurunan OPR boleh merangsang pertumbuhan pinjaman dan aktiviti pembiayaan. 

“Sektor hartanah pula lebih sensitif terhadap kadar faedah kerana kos pembiayaan yang lebih rendah akan menggalakkan pembelian hartanah dan pelaburan, manakala kadar yang lebih tinggi akan memperlahankan permintaan.

“Bagi sektor pengguna, kadar faedah yang lebih rendah meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah dan seterusnya menyokong perbelanjaan pengguna,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai dasar monetari untuk keseluruhan tahun ini, beliau berkata, BNM cendurung untuk mengekalkan OPR pada paras semasa, melainkan berlaku perubahan yang ketara terhadap prospek inflasi atau pertumbuhan ekonomi. 

Menurutnya, pendekatan ini membolehkan BNM mengekalkan keseimbangan antara menyokong pertumbuhan ekonomi dan memastikan kestabilan harga serta sistem kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN